PROSEDUR operasi standard (SOP) Aidilfitri sangat jelas, tiada ziarah pada hari raya sama ada sudara mara terdekat mahu pun jiran sebelah rumah.
Sebab itu pelbagai keluh-kesah diluahkan ramai terhadap SOP itu – sedangkan tujuannya dibuat kerajaan demi melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.
Namun, entah bagaimana tersebar pula tangkap layar media sosial seorang lelaki yang memuat naik hantaran ‘singgah’ di rumah seorang wakil rakyat bertaraf Exco di Terengganu.
Bukan sahaja perkataan, bahkan ada gambar mereka di meja makan – sekali gus pantas menjadi tular.
Maklumlah di saat rakyat bekorban mematuhi SOP, namun ada kelompok lain yang mempunyai jawatan dalam kerajaan boleh pula menerima tetamu sekali gus memberi contoh tidak elok dalam usaha kerajaan mengajak rakyat bersama memerangi COVID-19.
Hari ini, tetamu dan tuan rumah telah menerima hukuman apabila dikompaun RM2,000 seorang kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Berdasar laporan media, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim hari ini didenda RM2,000.
Sementara itu, Dr Azman dalam hantaran di Facebook beliau berkata, tetamunya pada hari raya pertama semalam adalah sahabat jiran sekampung merangkap staf Pejabat ADUN Jabi yang diwakilinya.
Katanya, stafnya itu mengaku terkeliru dengan perubahan SOP (ziarah Aidilfitri) di saat akhir.
“Dia pun tak peka dengan SOP terkini yang melarang ziarah pada hari raya. Yang dia baca ialah SOP sebelumnya, ziarah 1 Syawal dibenarkan tidak melebihi 15 orang.
“Itu lumrah. Tak semua rakyat peka dengan pelbagai perubahan SOP yang dikuatkuasakan.
“Ok je. Zakaria Mahmud @ Pok Yas, macam abang ambe sendiri. Sebagai Penolong Penyelia i-Mits Bahagian Kebajikan, dia ialah antara tulang belakang kami di DUN Jabi,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Najib sindir kerajaan selepas dikompaun RM3,000 langgar SOP
Polis siasat langgar SOP, Dr. Mahathir mohon maaf
Tambah Dr Azman, beliau sebagai ketua mengambil tanggungjawab penuh.
“Kompaun Pok Yas pun tanggungjawab ambe untuk selesaikan. Kepada Allah kita berserah,” jelasnya.
Terdahulu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad mengesahkan perkara itu dan berkata, kompaun RM2,000 adalah jumlah maksimum yang dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar SOP ditetapkan.
“Bagi mana-mana perbadanan atau pertubuhan yang melanggar SOP Aidilfitri, kadar maksimum kompaun ialah RM10,000,” katanya.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut selepas tular di laman sosial gambar beliau dikunjungi seorang tetamu lelaki semalam.
Lelaki berumur 55 tahun itu yang jufa staf beliau turut didenda RM2,000.
Berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula Rabu lepas hingga 7 Jun, beberapa SOP bagi sambutan Aidilfitri telah ditetapkan termasuk tidak membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

