PDRM, agensi keselamatan tingkat kawalan keselamatan

0
264
Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sebuah sidang akhbar di ibu negara tahun lalu./ Gambar FB KDN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan daripada semua aspek susulan ketegangan yang timbul ekoran keganasan dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin.

Katanya, ia melibatkan pemimpin perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

Pada masa sama, Hamzah berkata, kerajaan sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin

“Sehubungan itu, pasukan PDRM bersama agensi-agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan daripada semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia termasuk warga Palestin yang berada dalam negara.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Malaysia, Indonesia, Brunei gesa adakan sidang tergempar PBB

Beberapa media antarabangsa melaporkan kerajaan Israel telah mengarahkan pasukan perisiknya untuk menyasarkan pejuang Hamas sama ada di Semenanjung Gaza atau di luar negara.

Ia termasuk pejuang yang dikatakan berada di Turki, Qatar dan Malaysia.

Malaysia bersama-sama Indonesia dan Brunei sebelum ini menggesa supaya satu sidang tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan berhubung pencerobohan dan keganasan dilakukan rejim zionis terhadap Palestin.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin ketiga-tiga negara iaitu Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut menggesa sebuah resolusi keamanan dicapai bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Pemimpin ketiga-tiga negara turut mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera dan mengambil semua langkah untuk menjamin keselamatan serta melindungi rakyat Palestin sejajar dengan tanggungjawab khasnya bagi menuntut pemberhentian semua keganasan dan memenuhi kewajipannya menegakkan keamanan antarabangsa.

Pada masa sama, Malaysia, Indonesia dan Brunei turut menuntut pihak berkepentingan melaksanakan gencatan senjata dan menerima kehadiran pemantau antarabangsa di Baitul Maqdis bagi memastikan perkara itu dipatuhi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram