BEKAS Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama penyokongnya dijangka menubuhkan parti politik baharu sebagai wadah perjuangan terkini.
Pengarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali turut berpandangan, parti politik baharu yang diterajui Hamzah itu pula dilihat bakal menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
Sekiranya itu berlaku, kata Mazlan, Bersatu yang masih dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden akan hilang secara total.
Beliau berkata, ini kerana Bersatu tidak lagi menjadi signifikan dalam PN dan mungkin dengan sendirinya terkeluar daripada gabungan tersebut.
“Pemecatan Hamzah dilihat memakan diri Bersatu kerana kita tengok Muhyiddin ketika ini telah kehilangan sokongan akar umbi.
“Hari ini kita lihat ramai pemimpin telah mengumumkan untuk keluar parti, saya fikir Muhyiddin tak akan dapat mengembalikan sokongan akar umbi yang telah lari menyokong Hamzah.
“Saya percaya Hamzah pasti akan terus menekan Muhyiddin menerusi penyokongnya yang masih berada dalam Bersatu,” katanya kepada UtusanTV.
Baca artikel lain: ‘Reset’ demi masa hadapan negara yang lebih jelas – Hamzah
Minggu lalu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, dipecat keahlian daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Selain Hamzah, turut dipecat antaranya tiga Ahli Parlimen lain daripada Bersatu itu ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Dua ADUN yang dipecat pula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Sehari selepas pemecatannya itu, Hamzah menghadiri program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik yang turut dihadiri 19 Ahli Parlimen daripada Bersatu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

