PENCEROBOHAN dan serangan berterusan rejim zionis terhadap Masjid Al-Aqsa serta rakyat Palestin disifatkan sebagai perbuatan keji, zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih susulan serangan ganas tentera rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei dan Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.
Pada masa sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat selepas solat Maghrib esok bagi memohon ihsan Allah SWT memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei mengeluarkan kenyataan bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim Zionis ke atas Palestin lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri semalam.
Seri Paduka juga menegaskan bahawa Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan bagi persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini.
“Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.
Baca artikel berkaitan: Muhyiddin minta umat Islam doakan keselamatan rakyat Palestin
“Ini juga adalah selaris dengan pendirian dan prinsip kerajaan yang tidak berbelah bahagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pencerobohan dan serangan rejim zionis terhadap rakyat Palestin kali ini dilaporkan bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.
Siri serangan itu dilaporkan telah mengorbankan lebih 119 rakyat Palestin manakala beratus lagi cedera setakat ini.
Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan dan sikap hormat menghormati.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menitahkan supaya rakyat menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing.
“Supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan serta penindasan rejim Israel,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

