SEJAK Disember tahun lalu sehingga kini, lebih 50 juta vaksin COVID-19 telah diberikan di United Kingdom (UK).
Hasilnya, jumlah jangkitan baharu di negara berkenaan turun mendadak kepada hanya 2,027 kes dilaporkan semalam berbanding pernah mencecah 68,053, 8 Januari lalu.
Di Malaysia, kerajaan berusaha untuk memberi vaksin kepada lebih ramai rakyat dalam usaha mencapai imuniti berkelompok dengan sehingga kini sebanyak 1.91 juta dos telah pun diberikan setakat kelmarin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan penghujung Februari lalu.
Hasrat bagi melihat Malaysia mencapai imuniti berkelompok perlu disusuli kerjasama rakyat bagi memperoleh vaksin.
Namun begitu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin bagaimanapun berkata, seramai 1,800 daripada 9,000 penerima vaksin bagi fasa kedua tidak hadir janji temu seperti dijadualkan.
Menurut Dr. Zaini, jumlah tersebut melibatkan penerima golongan warga emas dan berisiko yang telah pun mendaftar bagi mendapatkan vaksin.
Baca artikel berkaitan: WOW! Hasil vaksin, pelitup muka tak lagi wajib dipakai di AS
“Kita harap sekiranya mereka ada halangan dan tidak dapat hadir untuk menerima vaksin pada tarikh dijadualkan, mereka perlu memaklumkan kepada pihak kami lebih awal untuk mengelak daripada pembaziran.
“Sekiranya perkara ini berlaku dan dimaklumkan awal, kita boleh sediakan senarai penerima standby untuk divaksin memandangkan kita mempunyai senarai nama yang menunggu dalam kategori sama iaitu warga emas dan golongan berisiko,” katanya seperti dilaporkan Bernama.com.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni, Kota Bharu.
Dr. Zaini memaklumkan, seramai 50,000 individu di Kelantan termasuk petugas barisan hadapan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama dan kedua PICK setakat ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memaklumkan pihaknya tidak mengalami sebarang masalah dalam PICK fasa pertama memandangkan ia melibatkan petugas barisan hadapan.
Mengenai kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung dua peratus daripada keseluruhan penduduk Kelantan yang menolak vaksin, Dr. Zaini menjelaskan antara sebab golongan terbabit menolak adalah melibatkan keraguan status halal vaksin berkenaan.
“Selain itu, mereka merasakan vaksin tidak memberi manfaat selain terpengaruh dengan dakwaan kesan sampingan vaksinasi seperti ditularkan di media sosial,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

