PENYANYI Tasha Manshahar memaklumkan ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (swab test).
Menurut Tasha atau Nur Nadia Natasha Mohd. Manshahar,29, bapanya berada dalam keadaan stabil, namun ibunya iaitu Herina Wong kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor.
“Ayah nampaknya semakin baik…alhamdulillah. Mummy saja lah, paru-paru mummy ada jangkitan, paras oksigen dalam badan pun tak okay.
“Jadi doktor kena ‘tidurkan’ dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan dia kembali stabil. Sebenarnya tak sangka langsung akan sampai jadi tahap macam ini.
“Dia nampak okay saja masa mula-mula kena masuk wad. Apa-apa pun kami sekeluarga yakin yang menyembuhkan itu Allah,” katanya di Instagram Story.
Dalam pada itu, Tasha sempat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus berdoa agar kedua orang tuanya segera sembuh daripada wabak berjangkit itu.
“Terima kasih untuk semua doa-doa kalian. Tak tahu nak balas macam mana, tapi saya doa Allah beri ganjaran pahala yang besar atas kesudian kalian mendoakan kesejahteraan dan kesihatan kedua ibu bapa saya.
“Terima kasih atas keperihatinan anda semua…saya sangat hargai dengan sepenuh hati ini,” ujarnya.

