Amalan mengunjungi saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga, apatah lagi dengan kehadiran Syawal, merupakan satu amalan yang amat dituntut oleh Islam.
Selain merapatkan ikatan silaturahim sesama Islam, amalan seumpama ini mengutuhkan lagi tautan ukhuwah. Firman Allah S.W.T. surah al-Hujurat: 10,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara ,maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”
Walau bagaimanapun, ramai di antara kita yang dilihat masih kurang cermat dalam menjaga tatatertib sebagai seorang Islam dalam amalan menziarahi saudara-mara mahupun rakan taulan. Bukan sahaja di hari lebaran, bahkan ketika di hari-hari biasa.
Kita kadangkala terlepas pandang tentang adab-adab ini terutama menyentuh soal waktu. Justeru, berikut antara adab-adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika melakukan amalan kunjung-mengunjungi.
- Memberi salam
Adab sebagai tetamu perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi sesuai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nur:27
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu.”
Malah Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda,
“Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.” HR Muslim
- Berjabat tangan
Selaku tetamu digalakkan untuk kita bersalaman dengan tuan rumah. Rasulullah bersabda,
“Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah.” – HR Ibn Majah

Namun amalan berjabat tangan ini perlulah dilakukan dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja. Ia perlu dilakukan mengikut lunas-lunas Islam kerana terdapat segelintir masyarakat yang dilihat begitu mudah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram.
Tindakan ini amat dimurkai oleh Allah dan merupakan perkara yang amat ditegah di dalam Islam. Baginda bersabda,
“Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” – HR Al-Thabrani
- Menjaga tingkah laku dan pandangan
Sebagai tetamu, perlulah menjaga serta mengawal pandangan dan tingkah laku. Ini kerana seorang tetamu tidak seharusnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana tetamu yang tidak memelihara adab tertib akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.
Rasulullah s.a.w. menyarankan agar kita duduk di tempat yang telah dikhaskan oleh tuan rumah apabila berziarah. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadisnya yang bermaksud,
“Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka.” – HR Muslim
- Menjaga tutur kata
Kata-kata dan pertanyaan yang mengguriskan hati hanya akan mengundang perbalahan. Terdapat segelintir masyarakat yang mulut mereka begitu ringan untuk menghina, mengata, mengumpat serta menjatuhkan air muka seseorang.

Rasulullah turut menegah kelakuan ini dan menganjurkan setiap Muslim agar memelihara lidah dengan menuturkan kata-kata yang baik. Baginda bersabda,
“Seorang hamba (manusia) yang berbicara dengan pembicaraan yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), maka dia akan terlempar ke neraka sejauh antara timur dan barat” HR Muslim
Kata-kata yang baik merupakan satu doa yang pasti dapat menggembirakan hati pendengar. Justeru, bahasa yang dituturkan kepada tuan rumah perlulah manis, baik dan sopan. Mengawal kata-kata dengan bijak nescaya dapat membantu membina pertalian yang lebih kukuh.
- Ziarah dalam waktu yang sesuai
Kunjungan perlulah dilakukan pada waktu yang sesuai. Islam menegah kita daripada membuat kunjungan pada tiga waktu iaitu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana dikhuatiri akan mengganggu tuan rumah beristirahat dan seterusnya menyebabkan mereka tidak bersedia untuk menyambut kehadiran kita.
Tidak elok sekiranya kunjungan yang dilakukan hanya akan memberi beban dan kesusahan kepada mereka.
- Jangan duduk terlalu lama
Adab bagi mereka yang bertandang perlu dijaga agar tidak menyulitkan dan menyusahkan tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi sekiranya dia menerima banyak kunjungan pada hari itu.
Hormati dan terimalah kesulitan yang dihadapi oleh tuan rumah. Apabila hendak pulang, minta izin daripada mereka dan ucapkanlah terima kasih atas jemputan dan layanan yang telah mereka berikan.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan norma baharu ketika ini, di samping keadaan sesetengah tempat yang tertakluk dengan syarat perintah berkurung yang mengharamkan sebarang aktiviti berziarah, serta beberapa SOP yang perlu diikuti, maka amalan yang dianjurkan Islam ini agak terbatas dilakukan.

Mungkin ada beberapa amalan yang dianjurkan di atas tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini seperti amalan berjabat tangan bagi menjaga maqasid syariah dan saranan dari pihak Kerajaan.
Insya Allah jika satu masa kelak wabak covid 19 ini dapat diperangi, dan kita berjaya memenangi pertempuran ini, serta dapat menjalani kehidupan seperti biasa, maka inilah antara saranan dan tegahan Rasulullah s.a.w. dalam adab berziarah.
Semoga kita beroleh rahmat dan maghfirah Allah hendaknya. Wallahu a’lam
________________________