KERETA ditinggalkan tanpa dimatikan enjin oleh seorang individu sebelum turun ke kedai dengan anaknya ada di dalam.
Situasi itu kemudian bertukar menjadi detik cemas setelah si ibu mendapati kereta Perodua Bezza miliknya itu dilarikan bersama anaknya yang berusia 12 tahun.
Kejadian berkenaan dilaporkan di Seri Manjung, Perak jam 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan pendingin hawa dihidupkan sebelum turun membeli barang di kedai haiwan.
Sejurus keluar dari kedai berkenaan, katanya, mangsa mendapati keretanya tiada di tempat letak kereta dan terlihat seorang lelaki tidak dikenali membawa lari keretanya berserta anak perempuannya yang masih berada di dalam kereta tersebut.
“Mangsa cuba untuk menghalang keretanya namun suspek telah memecut laju kereta itu dan melarikan diri.
“Dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian, suspek telah ditangkap dan kereta serta anak mangsa dapat diselamatkan.
“Kanak-kanak itu dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Nor Omar, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek.
Kata beliau, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek yang berusia 24 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Semasa kejadian, kereta berkenaan tidak berkunci. Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar dan suspek masih tidak dapat disoal siasat kerana masih di bawah pengaruh dadah,” jelasnya.
Beliau berkata suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Seri Manjung untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

