sihir punca hilang nafsu

Gembira hati Azizah tatkala dirinya dilamar kekasih hati. Setelah tiga tahun berkenalan, akhirnya Hafizi membuat keputusan memperisterikan Azizah. Dengan persetujuan mereka berdua, akhirnya keluarga Hafizi bersetuju meminang Azizah.

Bahagianya bukan kepalang. Namun semuanya berubah sekelip mata. Tanpa ribut, tanpa angin, kunjungan lelaki yang ditunggu tidak muncul-muncul. Puas menelefon bakal tunangnya, namun tiada jawapan.

Gusar memikirkan majlis pertunangan semakin hampir Azizah nekad menghubungi keluarga Hafizi. Jawapan yang diterimanya sangat meruntun jiwa.

Majlis pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki dengan alasan bapa bakal tunangnya itu tidak menyukainya. Hancur luluh hati Azizah menanggung malu dengan orang kampung. Akibatnya, Azizah pengsan diasak dengan pelbagai soalan.

Sebenarnya, bukan sekali perancangannya untuk mendirikan masjid tergendala. Ini sudah kali ke tiga. Peristiwa sebelum ini, Azizah menjadi tidak tenteram dan mengamuk setiap kali berbual dengan tunangnya.

Bukan itu sahaja, dia juga sering menjerit apabila nama tunangnya disebut. Tidak tahan dengan keadaan itu, tunangnya mengambil keputusan memutuskan pertunangan mereka.

Namun yang peliknya, setelah pertunangan diputuskan, keadaan Azizah kembali sedia kala. Tiada lagi marah-marah dan meracau. Namun kali ini lebih memalukan apabila majlis pertunangan yang sepatutnya berlangsung tidak menjadi.

Dibawa ke hospital, doktor mengesahkan Azizah sihat. Masalah ini kemudiannya dirujuk kepada seorang ustaz yang pakar menjalankan rawatan Islam. Setelah dibawa berubat, ustaz  tersebut mendapati Azizah terkena pelalau perkahwinan, lantas menghalang seseorang untuk berkahwin.

Hilang nafsu angkara sihir pelalau sering terjadi

Itulah antara pengalaman yang dialami oleh segelintir masyarakat Melayu yang mempercayai pelalau atau dikenali dengan nama sihir ta’tilu az zawaj’, yang menjadikan sesuatu urusan  perkahwinan tidak menjadi.

Lain pula terjadi kepada Hakim, pelajar pintar dan berdisiplin sejak di bangku sekolah lagi. Entah kenapa, sejak menamatkan pengajian, sehingga ke hari ini dia sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Bukan tidak berusaha, malah hampir semua tempat yang menawarkan jawatan kosong telah dicubanya. Baik yang menawarkan jawatan tinggi sehinggalah sebagai pembantu kedai.

Jika diterima, pasti ada halangan yang dilalui oleh Hakim. Dia sendiri tidak tahu kenapa setiap pagi sukar untuk bangun tidur ke tempat kerja. Puas dikejutkan oleh ibu, namun Hakim tidak mampu mengangkat kepala dan membuka mata. Akhirnya dia dibuang kerja.

Setelah berpuluh kali terjadi begitu, Hakim akhirnya berputus asa sehingga dia merasa lebih selesa berada di rumah tanpa bergaul dengan masyarakat. Sedangkan sebelum ini, Hakim mempunyai ramai kenalan. Badannya turut surut kerana tidak lagi menyentuh nasi.

Empat penghalang

Dua kes di atas, mempunyai masalah yang hampir sama sekalipun situasi yang dialami  berbeza. Mengulas mengenainya, Perawat Perubatan Islam merangkap Penasihat Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurani, Sharhan Safie menyatakan, kebanyakan kes yang diterimanya melibatkan penghalang perkahwinan.

Kebiasaannya mangsa yang dijadikan pelalau adalah wanita. Namun begitu, bukan hanya untuk perkahwinan, pelalau juga digunakan untuk menghalang perniagaan, menghalang pembelajaran dan juga pekerjaan sebagaimana kes kedua yang dipaparkan.

Ujarnya, tujuan sihir pelalau ialah untuk menghalang pesakit dari mencari rezeki sama ada di tempat kerja atau premis perniagaan, menghalang perkahwinan atau menghalang kemajuan dalam pembelajaran.

Semua usaha untuk mencari rezeki terhalang tanpa sebab yang munasabah. Biasanya juga ia disebabkan oleh sifat hasad dengki dan khianat serta permusuhan yang berlaku antara individu.

Apabila seseorang terkena sihir halang perkahwinan dan pertunangan, mangsa berasa tidak bernafsu ataupun tertutup hati mahu berkahwin. Malah mangsa lebih suka menyendiri dan berkurung sahaja tanpa bergaul dengan masyarakat sekeliling.

Tambah Sharhan, peluang mengadakan pertunangan ataupun perkahwinan yang dirancang selalu terhenti di tengah jalan. Apabila sihir berlaku kepada perempuan, selalunya rombongan meminang akan melihat perempuan itu hodoh, kurang menarik atau perempuan itu tidak semena-mena menjadi marah ataupun berang kepada rombongan pihak lelaki yang datang.

Sihir pelalau lazimnya dihantar oleh orang yang dengki

Manakala, apabila lelaki yang menjadi mangsa, dia seolah-olah tidak ada nafsu kepada wanita. Sihir kebanyakannya dihantar oleh bekas kekasih ataupun orang yang meminati mangsa atas alasan membalas dendam kerana cinta yang tidak berbalas.

Sihir pelalau perkahwinan juga adalah sihir bagi mengunci nafsu mangsa sihir. Ini menyebabkan mangsa hilang motivasi ataupun berasa rendah diri ataupun dalam bahasa saintifiknya inferiority complex.

Selain itu, ia juga menyebabkan orang lain yang memandang mangsa sihir seperti hodoh ataupun tidak menarik.

Pelalau perniagaan

Sihir pelalau juga sering dilakukan pada premis tempat kerja atau premis perniagaan yang boleh menyebabkan perniagaan ditutup kerana kerugian atau tidak ada pelanggan membeli atau berurusan.

Tujuan sihir dihantar supaya perniagaan ditutup. Sihir dihantar oleh pesaing-pesaing perniagaan yang dengki. Apabila sihir dikenakan, pemilik kedai hilang motivasi dan minat berniaga.

Bahkan berasa begitu malas bekerja dan selalu mengantuk. Kadangkala mangsa berasa takut, gelisah dan sakit-sakit badan apabila berada di premis perniagaan tetapi pulih semula selepas keluar dari kedai.

Keadaan bertambah teruk apabila pelanggan-pelanggan mula mengadu mereka tidak dapat melihat kedai mangsa ataupun melihat kedai mangsa ditutup pada hal perniagaan dibuka seperti biasa.

Terdapat juga pelanggan yang datang ke kedai ataupun restoran mangsa melihat ulat, serangga ataupun rambut di dalam makanan yang dihidangkan kepada mereka. Makanan juga cepat basi walaupun baru dimasak. Bukan itu sahaja, ada juga yang sakit perut ataupun cirit-cirit selepas makan di kedai mangsa sihir.

Selain pelalau  yang disebutkan di atas, ada juga sihir pelalau untuk membuat anak-anak lalai dalam pelajaran dan akhirnya tidak lulus peperiksaan atau berhenti sekolah. Pelalau pelajaran biasa berlaku ekoran hasad dengki terhadap pelajar tersebut. Mungkin sebelum ini dia seorang yang bijak pandai sehingga sukar ditandingi.

Mereka yang terkena sihir ini biasa sukar mencapai kejayaan.

Begitu juga dengan pelalau pekerjaan, mereka menutup pintu rezeki dengan menghantar sihir kepada mangsa melalui pelbagai cara. Akibatnya, mangsa tidak mampu untuk meneruskan kehidupan dengan baik sehingga hilang kawalan emosi dan sebagainya.

Guna khidmat jin

Sihir pelalau biasanya menggunakan khidmat makhluk halus iaitu jin. Misalnya, sihir pelalau perniagaan, makhluk halus mahupun jin-jin tersebut dihantar oleh bomoh untuk memastikan premis perniagaan berkenaan tidak dikunjungi oleh pelanggan dengan pelbagai cara.    

Pesakit-pesakit yang mengalami sihir pelalau dihinggapi jin dalam tubuh dan otak mereka. Jin-jin inilah yang mempengaruhi dan menguasai pemikiran dan perasaan pesakit supaya berkelakuan seperti malas, bingung, gelisah, resah, pemikiran tidak fokus, mengantuk yang berlanjutan, sakit seluruh badan, panas baran, selalu marah-marah tanpa sebab dan lain-lain.

Pelalau warisan saka

Selain hasad dengki dan rasa tidak pusa hati seseorang ke atas  mangsa, perlu diketahui bahawa pelalau tidak semestinya datang dari perbuatan sihir. Bahkan usah terperanjat  bahawa pelalau itu juga datangnya dari warisan saka nenek moyang tanpa disedari. 

Dahulu, ujar Sharhan, kebanyakan mereka memelihara saka bertujuan memelihara kesejahteraan keluarga. Dan tanpa mereka sedari, saka itu sebenarnya memusnahkan keluarga tersebut. Lebih malang, apabila saka yang dipelihara tidak lagi dipedulikan, maka saka berperanan memporak-perandakan cucu-cicit keluarga pemilik saka. 

Iblis juga sangat suka jika manusia bersendirian. Sebagaimana dendamnya kepada anak cucu Adam dan Hawa, begitu jugalah dia membenci keturunan Adam dan Hawa. Iblis tidak menyukai sekiranya berlaku penambahan waris keturunan Adam dan Hawa,

Menurutnya lagi, kebanyakan mangsa pelalau hanya mendiamkan diri tanpa ingin mengenal pasti punca perubahan yang berlaku kepada mereka.

Justeru Sharhan menasihati masalah pelalau tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Jika dibiarkan tanpa dirawat, masalah pelalau tidak akan terungkai dengan sendirinya.

Sharhan turut menasihatkan kepada mangsa pelalau agar cuba untuk menjalani kehidupan yang sihat serta bermasyarakat. Bersendirian dan mendiamkan diri akan menambahkan lagi masalah yang sedia ada.  

Solat lima waktu menjadi pendinding sihir.

Apa pun yang penting si pemangsa perlu sentiasa mengingati Maha Pencipta dengan menunaikan solat lima waktu. Dengan cara itu syaitan akan merasa panas dan menjauhi mangsa sedikit demi sedikit.

Sharhan turut menganjurkan mangsa pelalau mengamalkan bacaan surah Hud ayat 57 yang bermaksud,  

“Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruan ku, maka tidaklah menjadi hal kepada ku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhan ku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan) dan kamu pula tidak akan dapat membahayakan-Nya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengawal dan Pemelihara tiap-tiap sesuatu.”

Bagi mereka yang terkena pelalau penghalang jodoh, dia menasihatkan agar mengamalkan surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud,

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram