PENGGUNAAN katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di seluruh negara mencapai kapasiti 91 peratus ketika di Lembah Klang, angka itu sudah mencapai 113 peratus setakat semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi menampung peningkatan itu, hospital-hospital terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

Bagaimanapun jelas beliau, langkah itu juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.
“Di Hospital Sungai Buloh misalnya, sebahagian daripada Jabatan Kecemasan telah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal / ICU.
“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan keterangan infografik yang disertakan Noor Hisham, Kuala Lumpur berada di tempat pertama bagi penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus diikuti Pulau Pinang di tempat kedua dan Selangor di tempat ketiga.
Selain itu, sebanyak 35 hospital di seluruh negara sudah mencapai penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus.

Bagi wilayah tengah atau Lembah Klang, Hospital Kajang mencatatkan penggunaan katil ICU Covid-19 paling tinggi iaitu pada kadar 317 peratus diikuti Hospital Banting (200 peratus) dan Hospital Serdang (172 peratus).

Noor Hisham sementara itu mengingatkan orang ramai agar melakukan kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah.
Ujarnya, sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.
“Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” tambahnya.

