Jaga SOP, duduk di rumah…itu ‘vaksin’ terbaik…sampai bila nak PKP

Dari Penulis

PENULIS tidak pasti berapa banyak perkataan, ‘duduk di rumah’ diucapkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada Sabtu lalu ketika sidang media bersama.

Malam tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membuat seruan yang sama, duduklah di rumah dan menjaga diri sendiri.

Memang itu cara terbaik untuk kawal penularan Covid-19 yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Bagi puak yang tak suka kerajaan, kerajaan cakaplah apapun mereka tak akan peduli, mereka hanya akan cari salah, sebab itu ada yang tengok pukul berapa jam Perdana Menteri masa program Bicara Khas berbanding menelaah apa yang Muhyiddin cakap.

Tak apalah kita anggap sajalah itu semua corat-coret dunia politik tetapi yang penting fokus kita sekarang bersama-sama memerangi Covid-19, tak boleh harap kerajaan sahaja, jangan dok sibuk tanya vaksin bila sampai, dok pertikai pasal program vaksin kita lambat. Sedangkan yang paling penting sekarang ialah bersama-sama memastikan kita tidak dijangkiti wabak tersebut.

Kita tidak boleh lagi membiarkan virus  terus merebak dan merebak sehingga ia akhirnya akan memusnahkan kita semua. Virus tu tak kenal sapa, tak kisahlah orang tu ahli politik ke tidak, paling popular ke tidak,paling banyak ‘komplen’ ke tidak – semua boleh dijangkiti.

Paling sedih kalau ada yang dijangkiti disebabkan ‘dosa’ orang lain – yang tidak jujur pada diri sendiri dan tahu positif, dok gatal pi jumpa orang lain, pi masjid, pi surau, pi beraya senyap-senyap, lepas tu bila kes meningkat, kerajaan dipersalahkan.

Kita semua letak dalam kepala masing-masing kata-kata Dr.Noor Hisham, virus itu tak bergerak, yang bergerak ialah manusia. Kalau kita semua patuh SOP, hanya keluar rumah bila urusan penting sahaja, insha-Allah, kita akan dapat kawal pandemik ini.

Tetapi masalahnya masih ada dalam kalangan kita yang ‘keras kepala’, rasa ‘kebal’, rasa lebih pandai daripada pihak berkuasa yang bertungkus lumus dok tangani wabak tersebut.

Fahamlah sikit, kita sekarang sedang berhadapan dengan masalah kemudahaan kesihatan sudah berada keadaan cukup kritikal. Bak kata orang, dah bernyawa dalam lumpur.

Jadi jom kita bantu Kementerian Kesihatan dan kerajaan mengurangkan peningkatan kes Covid-19 ini. 

Bayangkan apa yang berlaku kalau ada ahli keluarga kita yang dijangkiti tetapi pihak berkuasa tak boleh berbuat apa-apa, nak hantar mereka ke Pusat kuarantin…sudah penuh, tak boleh bawa pi hospital kerana sudah sesak, sudah pasti kita kecewa dan sedih.

Kita tidak mahu ini berlaku sebab itu kerajaan minta kita duduk di rumah, tujuannya nak elak Covid-19 merebak. Mungkin ramai tak suka, ramai dok memekak lagi persoal pasal apa yang tak buat PKP penuh seperti PKP 1.0.

Muhyiddin dah bagi tau kesan kalau buat ‘total lockdwon’. Ekonomi negara boleh runtuh, ramai rakyat akan hilang pendapatan khususnya mereka yang bergantung pendapatan harian selain sejumlah lagi akan kena buang kerja.

Sebab itu cara terbaik #kitajagakita kerana tu sahaja paling berkesan untuk elak wabak itu terus merebak.

Cakap senang lah kata kerajaan bodoh, kerajaan gagal – untuk ‘hiburan’ kat media sosial bolehlah tapi hakikat sebenarnya seperti mana kata Muhyiddin,

‘’Ketika berdepan dengan pelbagai masalah seperti kapasiti katil hospital dan katil unit rawatan rapi (ICU) yang tidak mencukupi, kerajaan melakukan pelbagai langkah bagi menguruskannya.

‘’Tapi tambah berpuluh ribu katil pun tidak akan bermakna (jika rakyat tidak menjaga diri). Jadi kita terpaksa minta rakyat bantu diri sendiri. Jagalah kita. Kita nak jaga diri kita supaya kita tak sakit atau terkorban kerana kelekaan kita.

‘’Bolehlah nak salahkan kerajaan, marah Perdana Menteri pun tak apalah, saya terimalah. Rakyat kata, ‘’ apa bodoh Perdana Menteri’ tak apa, saya tahu macam mana susahnya menguruskan hal Covid ini.”

Dalam keadaan sekarang, kita harus bersatu tak kiralah apapun fahaman politik mahupun perbezaan antara kita. Sampai bilakah kita mahu terus dok dalam ‘PKP’ ini?

Sampai bila kita tidak boleh merentas daerah, rentas negeri? Tak boleh balik kampung menjenguk orang tua? Nak pi masjid, surau ada kuota.

Paling sedih sampai bila nak tengok saudara mara dan kawan-kawan kita atau mungkin kita sendiri hanya melihat daripada kejauhan apabila ada ahli keluarga meninggal dunia kerana Covid-19? Nak menatap wajah buat kali terakhir pun tak boleh…

Sampai bila kita tergamak nak melihat frontliner kita bertungkus lumus siang malam untuk mengendalikan kes-kes-kes Covid-19 di hospital, pusat kuarantin?

Tak simpatikah kita kepada anggota keselamatan yang berhujan berpanas buat sekatan raya, buat pemeriksaan untuk pastikan SOP dipatuhi? Semua keadaan ini kita boleh ubah dan perbaiki.

Tidak payah tuding jari kepada orang lain,  tengok diri kita sendiri, tengok ahli keluarga kita, pastikan kita ikut SOP, ikut arahan kerajaan, ikut nasihat Kementerian Kesihatan, patuhi segala undang-undang ditetapkan. Itu saja ‘vaksinnya’.

Daftarlah untuk dapat suntikan vaksin, jangan jadi bodoh dok percaya cakap ‘mak teh’ atau ‘fatwa sesat maulana’ – semua itu golongan tak ada kerja, ada otak tapi tak ada akal…sebab itu dok hasut dan sebar dakyah bukan-bukan.

Yang ada ahli-ahli politik nak terus bangkitkan isu-isu berkaitan cara kerajaan menangani Covid-19 ini, tak mengapalah…jangan marah, kalau teguran itu ada asas dan baik, kerajaan boleh jadikan input, kalau teguran dan ulasan itu ada unsur politik, biarkan sahaja rakyat  menilai.

Kita tak nak gaduh-gaduh, kita tak nak berpecah belah, kita kena bersatu, kita bersama-sama membantu kerajaan perangi Covid-19 sebab ni musuh kita, nyawa kita semua dalam bahaya.

Negara lain berjaya tangani pandemik ini kerana mereka menyokong semua tindakan kerajaan, mereka tak politikkannya, mereka tak persoalkan sebab mereka tahu tak mungkin kerajaan akan lakukan tindakan yang akan hancurkan negara dan rakyat, itu tidak bijak namanya.

Jadi kita pun harus buat sikap sama, patuhi SOP dan duduk di rumah, inshaallah bak kata Perdana Menteri, ‘’Kita bekerjasama, usah salah menyalah, kita akan menang’’ – Amin.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Parlimen dijangka dibubar selepas pembentangan Belanjawan – Penganalisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membubarkan Parlimen pada bulan November iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan. Pengarah...

More Articles Like This