BILA kita bertengkar dengan ibu bapa sewaktu berumur lingkungan belasan tahun dahulu, paling kurang pun merajuk, mengurungkan diri dalam bilik sebagai tanda protes, atau menangis hingga tertidur sahaja.
Namun remaja yang berasal daripada Sepanyol ini telah menggunakan pendekatan yang boleh dikatakan agak lain macam apabila sanggup ‘berpindah’ ke dalam gua yang dijadikan sebagai kediaman barunya.
Andres Canto, yang ketika itu berusia 14 tahun mula bertindak untuk menggali gua bawah tanah untuk melepaskan amarahnya dengan menggunakan cangkul burung (Pickaxe) di belakang rumah orang tuanya di Alecante setelah bertengkar dengan ibu bapanya enam tahun lalu.
Menurut Canto yang kini berusia 20 tahun, pertengkaran tersebut hanya kerana mereka mengarahkan dirinya untuk menyalin pakaian sebelum ke kampung tetapi Canto berkeras untuk memakai pakai sukan sahaja supaya dia boleh bermain apabila berada di kampung.

“Mereka kata saya tidak boleh keluar berpakaian seperti itu dan saya cakap ‘jangan risau, saya tahu cara untuk hiburkan diri sendiri,’ dan mula menggali tanah,” kata Canto kepada Zenger News.
Tidakan menggali tanah di belakang rumah ibu bapanya itu telah menjadi rutin harian dan Canto akan meluangkan masa menggali gua tersebut setiap petang selepas tamat waktu persekolahan sebelum rakannya membawa penggerudi yang mempercepatkan proses menggali gua tersebut.
BERITA BERKAITAN Hampir 7 juta akan bekerja dari rumah mulai Selasa ini
Sebahagian besar kerja menggali tanah tersebut hanya menggunakan tangan sebelum Canto bersama rakannya, menemui cara untuk bekerja dengan lebih cepat, seperti menggunakan baldi untuk membuang tanah keluar daripada gua menggunakan sistem takal buatan sendiri.

Canto mengukuhkan atap gua itu menggunakan pintu masuk yang melegkung dan siling berkubah yang diperkuat dengan tiang, serta dinding konkrit untuk mengelakkan keruntuhan.
Kini gua sedalam tiga meter itu mempunyai ruang tamu dan bilik tidur serta dilengkapi dengan sistem pemanasan, Wi-Fi dan juga sistem muzik.
Jumlah kos projek ini hanya menelan belanja sekitar 50 euro (RM284) sahaja kerana bahan binaan yang digunakan oleh Canto lebih murah daripada yang dijangka.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

