GARA melakukan penindasan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai majikan yang baik, bintang Hollywood Kim Kardashian menerima padah apabila disaman tujuh bekas tukang kebunnya.

Kim didakwa atas kesalahan lambat membayar gaji, menahan 10 peratus daripada gaji mereka untuk cukai dan tidak menyerahkan jumlah tersebut kepada pihak kerajaan.

Selain itu, Kim dituduh tidak membayar gaji lebih masa selain mereka juga tidak dibenarkan berehat untuk makan.

Malah, Kim juga gagal memberikan penyata gaji kepada selain memaksa pekerjanya bekerja selama 48 jam tanpa diberi ruang untuk berehat.

Lebih perit lagi, ada di antara mereka dipecat dalam tempoh 24 jam hanya kerana bertanyakan tentang bayaran kerja lebih masa yang dilakukan.

Menurut jurucakap Kim, pekerja-pekerja itu diupah dan dibayar melalui vendor luar untuk bekerja di rumah agamnya yang terletak di Hidden Hills.

“Ke semua pekerja itu diupah dan dibayar melalui vendor pihak ketiga yang dilantik oleh Kim untuk memberikan servis berterusan.

“Kim tidak terlibat dalam perjanjian yang dibuat antara vendor dan pekerja mereka.

“Oleh itu, dia tidak bertanggungjawab mengenai bagaimana vendor menguruskan perniagaan mereka dan perjanjian yang telah dibuat secara langsung dengan kakitangannya.

“Kim tidak pernah gagal membuat sebarang pembayaran kepada pihak vendor.

“Malah, dia seorang yang komited dalam urusan membayar perkhidmatan orang lain mengikut waktu yang ditetapkan.

“Jadi isu ini tiada kaitan dengan Kim,” katanya.