BINTANG Hollywood Kim Kardashian dan bekas suami iaitu penyanyi rap Kanye West akhirnya mencapai kata sepakat susulan penceraian mereka.

Mereka akan berkongsi hak penjagaan terhadap empat anak yang berusia tiga hingga sembilan tahun selain akan membahagikan harta sama rata.

Kanye,45, juga bersetuju untuk membayar wang nafkah kepada Kim berjumlah RM894,500 sebulan sebagai tanggungan keperluan empat orang anak mereka.

Pasangan terbabit berkahwin pada 2014 di Itali, sebelum Kim,42 memfailkan permohonan cerai pada tahun lalu.Dia memberikan alasan sudah tidak sehaluan selain gagal berdamai.

Butiran perjanjian penyelesaian cerai mereka turut didedahkan beberapa cawangan berita dengan menyebut Mahkamah Los Angeles sebagai sumber. Apapun, kesahihah dokumen terbabit belum dapat dipastikan.

Memetik laporan portal Post, sebagai ibu dan bapa, mereka perlu setuju sekolah mana harus dihadiri anak-anak. Ia turut membabitkan perihal terapi, kaunseling dan aktiviti keagamaan.

Anak-anak juga tidak dibenarkan berada lebih 100 kilometer dari kediaman Kim di Hidden Hills sebelum mereka tamat belajar atau pada usia 19 tahun.

Kanye juga bersetuju menyerahkan sebuah aset hartanah di Hidden Hills kepada Kim. Dia juga akan memegang hak milik kepada harta di Malibu dan Riverside, California, dan Harrison, Idaho.