Keadaan di salah sebuah istesen LRT, semalam - Gambar media sosial.

ANALISIS

DALAM keadaan Covid-19 terus menggila, kerajaan terus menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak.

Perlu diakui banyak situasi tidak menyebelahi kerajaan, apa sahaja yang dilakukan pasti menerima kritikan dan kecaman.

Walaupun ada juga komen-komen yang dilontarkan lebih banyak mencari kelemahan kerajaan namun ada antaranya tidak boleh dipandang remeh apalagi jika ia melibatkan soal rakyat secara langsung.

Antara isu yang harus diberi perhatian ialah soal perkhidmatan LRT yang menjadi salah satu first thing in the morning menjadi sasaran semalam.

Ribuan pengguna meluahkan kekecewaan mereka apabila terpaksa beratur berjam-jam di stesen kemudian terpaksa berasak-asak dalam tren.

Kalaulah hasrat kerajaan mengurangkan kapasiti 50 peratus pengangkutan awam bertujuan mengekang penularan Covid-19…lupakan sahaja. Jika kekerapan jadual perjalanan tren tidak diperbetulkan tidak mustahil selepas ini akan wujud kluster LRT pula.

Prasarana sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan pengangkutan ini harus mengkaji semula kelemahan yang cukup ketara ini. Orang ramai tidak boleh dibiarkan terseksa ketika menanti dan berada di dalam tren.

Bagi mereka yang tidak menggunakan perkhidmatan itu mungkin tidak berasa apa- apa.Tetapi sesiapa yang melihat video dan gambar keadaan di stesen dan di dalam tren akan dapat merasai kesengsaraan pengguna-pengguna LRT.

Oleh itu adalah wajar Prasana melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatan tersebut mulai esok apabila cuti umum Hari Wesak.

Kasihanilah penumpang-penumpang mereka.terpaksa berkorban keluar awal pagi demi untuk mencari sesuap nasi. Masing-masing ada pekerjaan dan urusan sendiri, sampai bila mereka harus terseksa begitu… bangun awal, sampai stesen LRT awal tetapi sampai ke pejabat lewat. Itu belum lagi kira terpaksa tunggu-tunggu berjam-jam untuk dapat naik tren.

Begitulah dengan soal operasi kedai makan, gerai dan restoran yang dihadkan daripada pukul 8 pagi hingga 8 malam. Perkara ini juga harus dikaji semula. Premis-premis tersebut harus dibenarkan beroperasi lebih awal mungkin pukul 7 pagi.

Bersimpatilah kepada mereka yang keluar dari rumah awal pagi, sudah tentu mereka tidak sempat sediakan sarapan pagi.

Apa yang penulis ketengahkan ini diluahkan secara bertubi-tubi dalam media sosial, jangan pandang remeh apatah lagi mengabaikannya. Sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki kelemahan yang berlaku.

Kita faham kerajaan bukan duduk diam dan setiap keputusan atau langkah yang dibuat pasti ada sebabnya. Tetapi ia bukanlah perkara mutlak yang tidak boleh diubah, kalau sesuatu langkah itu mendatangkan bebanan dan menyusahkan maka lakukan penambahbaikan, bukan didiamkan begitu sahaja.

Apatah lagi ketika ini ramai yang mahu menangguk air keruh bukan mahu membela rakyat tetapi mencari keuntungan politik. Bagaimanapun ada juga pandangan sesetengah mereka.yang bernas dan boleh dipertimbangkan demi kesejahteraan rakyat.

Ketika kes Covid-19 terus meningkat dan keadaan kerajaan terus dijadikan sasaran untuk dipersalahkan, keluhan-keluhan netizen khususnya mereka yang merasai kesan daripada langkah memperketatkan PKP 3.0 jangan dibiarkan.

Jika itu dilakukan imej kerajaan akan terus diburukkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik. Jangan biarkan itu terjadi yang mana baik perkukuhkanlah, yang mana ada kelemahan perbaikilah.

Penulis sama sekali tidak menafikan kesungguhan kerajaan dalam memerangi Covid-19 dan penulis pun kadangkala ‘menyampah’ juga bila ada pihak melihat apa sahaja yang kerajaan buat tidak betul tetapi seandainya ada langkah yang dilihat menyusahkan rakyat, lakukanlah perubahan.

Inshaallah niat baik pasti diberkati Allah SWT tidak kira sehebat manapun kecaman yang diterima.