
Rumusan keputusan kewangan suku pertama TK2021
- Pendapatan RM483.6 juta
- Keuntungan bersih RM8.1 juta, didorong prestasi kukuh Asset Management
- Kedudukan tunai bersih RM126.5 juta
- baki tunai dan bank RM577.9 juta
- Nisbah gearan kasar 0.32 kali ganda
- Penambahan kontrak lebih RM400 juta; 59% disumbangkan bahagian Healthcare Support (Commercial) di peringkat antarabangsanya
- Orderbook semasa berjumlah RM12.0 bilion
UEM Edgenta Berhad mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama berakhir 31 Mac hari ini dengan mencatatkan pendapatan RM483.6 juta berbanding RM501.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur terebut turut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.1 juta, berbanding RM12.1 juta pada suku pertama tahun lepas.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh dengan nisbah gearan kasar sebanyak 0.32 kali ganda, kedudukan tunai bersih positif sebanyak RM126.5 juta, dan kedudukan baki tunai dan bank sebanyak RM577.9 juta.
“Kami terus mengekalkan prestasi memberangsangkan melalui orderbook kami yang kukuh dalam perniagaan komersial penjagaan kesihatan, yang secara progresifnya telah menyumbangkan kepada penambahan jumlah orderbook kami melebihi RM12.0 bilion.
Berdasarkan portfolio syarikat yang pelbagai, UEM Edgenta terus mengembangkan orderbook syarikat dan memperoleh kontrak baharu bernilai lebih RM400 juta pada suku pertama tahun ini.
Bahagian Healthcare Support Syarikat, terutamanya portfolio Commercial, memperoleh 59 peratus daripada jumlah kontrak baharu berjumlah RM240 juta, dari pasaran antarabangsa di Singapura dan Taiwan.
BERITA BERKAITAN UEM Edgenta, PLUS bekerjasama dalam penyelesaian digital operasi penyelenggaraan lebuh raya
Ini mewakili sebahagian besar perolehan kontrak baharu syarikat, sejajar dengan strategi baharu Edgenta of the Future 2025 ( EoTF 2025).
Orderbook semasa Syarikat kekal mantap sebanyak RM12.0 bilion, mengukuhkan kedudukan Syarikat untuk jangka panjang sehingga tahun 2038.
Selain itu, UEM Edgenta turut menjangkakan akan memperoleh keuntungan daripada pemulihan pasca pandemik dalam sektor pengangkutan melalui penyambungan semula kerja-kerja tidak kritikal dan turapan serta merealisasikan kerja-kerja yang tertangguh untuk perkhidmatan perundingan infrastruktur dan aset.
UEM Edgenta juga baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memperluaskan penyelesaian digital dalam operasi penyelenggaraan lebuh raya melalui Road Asset Management System (RAMS) yang membolehkan aktiviti perancangan penyelenggaraan jalan untuk menguruskan lebih 1,000 kilometer aset lebuh raya PLUS bagi jangka pendek dan jangka panjang.
Sejajar dengan strategi pengembangannya ke pasaran baharu, UEM Edgenta telah menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan dengan Asma Advanced Solutions LLC untuk meneroka dan mengenal pasti potensi perkhidmatan sokongan kesihatan serta peluang pengurusan kemudahan bersepadu di Arab Saudi.
Manakala bagi keputusan kewangan untuk segmen Syarikat pula, pendapatan daripada segmen Asset Management telah meningkat sebanyak RM44.2 juta daripada RM307.9 juta pada suku pertama TK2020 kepada RM352.2 juta pada suku pertama TK2021, yang didorong oleh penambahan kontrak Healthcare Support di Malaysia, Taiwan, dan Singapura.
Peningkatan dalam segmen ini juga didorong oleh projek baharu dalam Pengurusan Kemudahan Bersepadu (IFM) dan Kontrak Prestasi Tenaga (“EPC”) di Malaysia oleh bahagian Property & Facility Solutions (“PFS”) syarikat.
Segmen Asset Management mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.6 juta, peningkatan sebanyak RM11.1 juta daripada RM16.5 juta tahun ke tahun, disumbangkan terutamanya oleh penambahan kontrak baharu di bawah bahagian Healthcare Support.
Bahagian Healthcare Support, yang kini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 300 buah hospital di Malaysia, Singapura, Taiwan dan India, telah mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 12.8% daripada RM274.5 juta pada suku sebelumnya kepada RM309.5 juta pada suku ini.
Berikutan itu, keuntungan sebelum cukai juga telah meningkat daripada RM8.8 juta pada suku pertama TK2020 kepada RM19.8 juta pada suku pertama TK2021.
Sementara itu, bahagian Property & Facility Solutions Syarikat mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 27.7 peratus daripada RM33.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya kepada RM42.6 juta pada suku semasa.
Meskipun berdepan suku tahunan yang mencabar, segmen Infrastructure Solutions Syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM128.9 juta berbanding dengan RM193.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Di bawah segmen ini, bahagian Infrastructure Services Syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM109.3 juta berbanding RM167.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.