
SEORANG putera, beberapa bekas pegawai kerajaan dan sejumlah orang awam serta penduduk didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara kerana terbabit dalam kes rasuah, semalam.
Saudi Gazette melaporkan, sumber rasmi di agensi pencegahan pasuah (Nazaha) berkata, sebuah mahkamah jenayah di Riyadh baru-baru ini mengeluarkan keputusan awal dalam sejumlah kes yang dirujuk oleh unit penyiasatan dan pendakwaan jenayah Nazaha.
Sumber itu menyebut sejumlah kes terkemuka yang mana keputusan awal telah diumumkan.
Satu daripada keputusan itu menyatakan, seorang putera raja, seorang pegawai pelajar di sebuah kolej tentera berkaitan dengan kementerian pertahanan dan seorang ekspatriat Arab Saudi didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.
Putera dan pegawai tersebut didapati bersalah menggunakan sijil kelayakan akademik palsu untuk mendapatkan pekerjaan kerajaan sementara ekspatriat berkenaan bertindak sebagai orang tengah yang membantu mereka mendapatkan sijil palsu tersebut.
Putera itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda SR100,000 (RM110,303) manakala pegawai itu dijatuhi hukuman penjara satu setengah tahun dan denda SR50,000 (RM55,151) ketika ekspatriat berkenaan dipenjara selama satu tahun dan perlu membayar denda sebanyak SR20,000 (RM22,060).
Dalam satu lagi keputusan lain, seorang komander di salah satu sektor keselamatan di Kementerian Dalam Negeri dengan pangkat Mejar Jeneral disabitkan atas kesalahan pemalsuan, penyalahgunaan pentadbiran, penyalahgunaan pengaruh pejabat awam untuk mencapai keuntungan peribadi dan terlibat dalam perniagaan swasta.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun dan denda SR160,000 (RM176,482)
Sementara itu, dalam kes lain, seorang lagi pegawai yang berpangkat mejar yang bekerja di sektor yang sama disabitkan dengan kesalahan pemalsuan dan pentadbiran.
Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan diarah membayar denda sebanyak SR100,000 (RM110,303)
Seorang lagi pegawai juga didapati bersalah menipu dihukum penjara tiga tahun dan denda SR200,000 (RM220,605)