SEMUA kerja pembinaan di seluruh negara diberhentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19 dalam sektor pembinaan.
Walau bagaimanapun, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengecualian diberikan kepada kerja-kerja yang disenaraikan dalam perkhidmatan kritikal sahaja.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Kementerian Kerja Raya (KKR) merujuk kepada keputusan
kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara bermula dari 1 Jun sehingga 14 Jun 2021.
Untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 dalam sektor pembinaan, semua kerja pembinaan di seluruh negara harus diberhentikan sepanjang tempoh PKP ini.
Namun,pengecualian diberikan kepada kerja-kerja berikut yang disenaraikan dalam Perkhidmatan Kritikal.
Aktiviti-aktiviti yang dibenarkan dalam Sektor Pembinaan adalah
A. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal, iaitu kerja yang mana jika sekiranya tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada
pekerja, orang awam atau persekitaran, meliputi:
a) Penyelenggaraan dan pembaikan cerun, jalan raya, jambatan, kawalan pengurusan trafik (Traffic Management Control), dan lampu isyarat;
b) Pemeriksaan berkala dan pembaikan lif/ travelator/ escalator dan lain-lain peralatan mekanikal dan elektrikal yang kritikal;
c) Pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis-premis perkhidmatan kritikal;
d) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak;
e) Pembaikan dan penyelenggaraan landasan keretapi seperti MRT, LRT, komuter, single/ double track dan projek rel.
f) Pembaikan kediaman perseorangan; dan
g) Pembinaan Bailey Bridge di lokasi jambatan roboh.
B. Kerja-kerja pembinaan melibatkan infrastruktur awam utama dan kritikal meliputi
a) Terowong;
b) Cerun
c) Jambatan dan viaduct;
d) Lebuhraya yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh peratus (80%) dan ke atas;
e) Infrastruktur awam utama termasuklah MRT, LRT, ECRL, komuter, single/double track dan projek rel;
f) Infrastruktur berkaitan elektrik, telekomunikasi, empangan, saliran dan pembentungan, minyak dan gas;
g) Kerja-kerja hospital yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh (80%) dan ke atas;
h) Kerja pembinaan bangunan yang mempunyai penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina.
C. Perkhidmatan profesional/ perunding yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti yang disenaraikan di item (A) dan (B) seperti di atas; dan
D. Perkhidmatan dalam rantaian bekalan yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti di item (A) dan (B) seperti di atas.
Kesemua kontraktor yang terlibat dengan projek-projek yang tersenarai di atas perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi CIMS CIDB di laman web cims.cidb.gov.my untuk tempoh PKP bermula 1 Jun 2021. Bagi syarikat perunding dan pembekal, permohonan kebenaran beroperasi perlu dibuat melalui kontrakor utama yang bertanggungjawab memasukkan maklumat semua syarikat perunding dan pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan projek berkenaan ke dalam sistem. Kesemua kelulusan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dalam tempoh ini.
Waktu beroperasi dan kehadiran pekerja yang dibenarkan adalah seperti biasa namun kapasiti pekerja dihadkan kepada 60% sahaja.
Baca artikel berkaitan: Tiada lagi surat MITI, kebenaran dikeluarkan kementerian berkaitan
Semua pekerja (warga tempatan dan warga asing) di tapak pembinaan wajib menjalani Ujian Pengesanan COVID-10 sebelum memulakan kerja. Kontraktor juga diingatkan untuk melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang diberi tanggungjawab memantau pematuhan SOP di tapak bina, selain daripada garis panduan keselamatan dan kesihatan yang lain. Pegawai Penyelia Projek bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP sepenuhnya semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan sepanjang tempoh PKP.
Untuk memastikan COVID-19 tidak merebak dari tapak pembinaan ke komuniti tempatan, kawalan pergerakan keluar dan masuk dari tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja (CLQ) perlu dihadkan.
Kontraktor perlu menyediakan pengangkutan pulang dan balik pekerja yang dihadkan kepada pergerakan di antara penginapan atau CLQ dengan tapak pembinaan sahaja. Kontraktor juga perlu memastikan keperluan harian seperti keperluan makanan dan kebersihan diri pekerja tapak pembinaan disediakan untuk mengawal pergerakan keluar dan masuk pekerja bagi melindungi pekerja dan penduduk tempatan daripada jangkitan wabak COVID-19.
Bagi mengelakkan penyebaran virus dari satu tapak pembinaan ke lokasi yang lain, semua pekerja binaan tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak pembinaan ke lokasi yang lain dalam tempoh PKP.
KKR menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi SOP pembinaan terkini bagi mengawal penularan pandemik COVID-19. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan SOP di tapak bina dan juga penempatan pekerja binaan. CIDB mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan dan juga mengenakan kompaun kepada tapak-tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990) dan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). CIDB juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana kontraktor yang di dapati bersalah yang akan mengakibatkan pendaftaran mereka di gantung atau dibatalkan.
Perincian syarat dan jenis kerja yang dibenarkan dinyatakan dengan jelas di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pembinaan yang boleh dimuat turun dari www.cidb.gov.my.
Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan di sepanjang tempoh PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (waktu operasi dari Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.30 petang).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

