Pendakwah bebas yang juga Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung. GAMBAR: Abd Razak Aid

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh mulai 1 Jun ini sememangnya tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan jumlah penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Kedudukan fasiliti kesihatan juga dilihat semakin meruncing dengan jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) telah pun melebihi kadar 100 peratus.

Keadaan itu bagaimanapun tentunya memberi impak negatif kepada sebahagian besar rakyat Malaysia terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang semakin terkesan.

Sehubungan itu, Multiracial Reverted Muslims (MRM) mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan bantuan bekalan asas bernilai RM150,000 dalam usaha meringankan beban rakyat yang terjejas akibat PKP.

Menurut MRM dalam kenyataan, dana tersebut akan disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu serta dua cabang perniagaannya iaitu MyKampung Fresh Mart dan Balak.Co.

“Orang ramai boleh membuat permohonan di www.mrmcare.com dan sila uar-uarkan kepada kenalan anda moga bantuan tak seberapa ini boleh meringankan beban mereka. Kami bantu apa yang termampu.

Baca artikel berkaitan: MRM tawar khidmat guaman percuma, pekerjaan kepada pengawal peribadi dibelasah

“Ada juga yang bertanya, bagaimana mereka boleh menyumbang untuk bantuan bank makanan ini? Sahabat boleh salurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor iaitu 5648 1052 0353,” jelas MRM dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengasas MRM, Firdaus Wong Wai Hung turut bertindak menyumbang sendiri kepada dana berkenaan sebagai usaha membantu lebih ramai yang bakal terjejas akibat PKP secara penuh sekali gus meringankan beban dihadapi mereka.

Dalam perkongsian di kumpulan aplikasi Telegram, Firdaus Wong berkata, beliau mahu menunjukkan contoh kepada orang ramai supaya turut bersama-sama menyumbang terhadap usaha bank makanan tersebut.

Firdaus Wong turut berkongsi jumlah sebanyak RM250 yang disumbangkan kepada dana bank makanan berkenaan.

“Saya mulakan daripada diri saya sendiri menyumbang kepada bank makanan MRM untuk membantu lebih remai orang yang bakal terjejas dengan lockdown kali ini.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap dan menyeru tetapi tidak membuat apa-apa. Allah benci sikap cakap tak serupa bikin maka saya tidak mahu menjadi golongan yang dibenci Allah.

“Moga Allah terima sedikit pelaburan akhirat saya dan keluarga. Tak mampu bantu semua, jangan tak bantu langsung. Buat yang termampu.

“Peruntukan MRM sebanyak RM150,000 itu juga hasil sumbangan sahabat semua serta hasil keuntungan daripada Dakwahnomi kami. Alhamdulillah. Moga Allah terima,” jelas beliau lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram