DENGAN jiwa tenang dan fiikiran lapang serta tidak dibaluti sebarang sentimen cuba fikirkan semula beberapa perkara yang dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) malam tadı.
Pada awal ucapan Perdana Menteri menyatakan, ”Sepertimana yang saya telah tegaskan sebelum ini, penutupan sektor-sektor ekonomi akan memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat, saya ingin berterus terang bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.
Muhyiddin juga berkata, ’’Namun atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara lives and livelihood atau keperluan untuk melindungi nyawa dan menjamin kesejahteraan rakyat termasuk peluang saudara-saudari mencari nafkah untuk keluarga tersayang sepanjang tempoh PKP ini.’’

Kata Perdana Menteri lagi; ‘’Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion. Sehingga kini, ia telah memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.
”Justeru terdapat lebih daripada RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi dengan oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion.
Di penghujung pengumuman Pemerkasa plus, Muhyiddin turut mengingatkan;
’’..Selain insentif pada malam ini masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan. Dari seği perbelanjaan langsung daripada kerajaan, Kumpulan Wang Covid-19 telah diluluskan dengan siling RM65 bilionn.
”Sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April 2021, RM10 bilion telah disalurkan. Baki sebanyak RM17 bilion akan dibelanjakan pada tempoh yang terdekat.”
Seperti diduga, walaupun Perdana Menteri sudah bercakap secara terus-terang dan membentangkan secara terperinci segala peruntukan yang dibelanjakan serta mengumumkan pelbagai inisiatif melalui Pemerkasa plus bagi mengurangkan beban rakyat dan perniagaan dalam menghadapi PKP 3.0, namun tetap sahaja ada pihak yang sengaja mencari sudut yang boleh mereka pertikaikan langkah kerajaan.

Seperti mana penulis katakan, kalaulah sesiapa mendengar kata-kata Muhyiddin dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang lapang serta tidak dibaluti sebarang sentimen, mereka akan faham dan boleh menerima hakikat bahawa kerajaan mempunyai kekangan kewangan bagi melaksanakan pakej bantuan yang mereka desak atau cadangkan.
Tetapi penulis percaya sebaik manapun program bantuan diumumkan bagi mereka yang sudah ada kecenderungan politik, mereka tetap akan mencari jalan untuk ‘memburuk-burukkannya’.
Bagaimanapun jika kita membaca pandangan pakar ekonomi, kita akan mendapat pandangan seimbang. Contohnya seperti mana dilontarkan oleh Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak.
Walaupun beliau menegaskan pakej bantuan itu terlalu kecil dengan berkata, ia memerlukan suntikan fiskal lebih daripada RM5 bilion untuk membantu anggaran 8.5 juta isi rumah di negara ini namun beliau menyifatkan pakej bantuan itu masuk akal sambil memberi contoh bantuan kepada pemandu teksi dan bas, penambahan Bantuan Prihatin Rakyat yang dilihat sebagai satu langkah baik daripada Putrajaya.
”Peningkatan bantuan untuk isi rumah sudah cukup, kecuali jika tempohnya dilanjutkan melebihi dua minggu. Tetapi selepasini, ketika masuk ke fasa dua dan tiga, mereka harus mengumumkan lebih banyak pakej, terutama jika PKP dilanjutkan,’’ katanya.
Presiden Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Ameer Ali Mydin berkata kerajaan telah mendengar keperluan peniaga kecil dan B40.
”Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional kerana telah membantui peniaga yang terjejas oleh keadaan sekarang,’’ katanya sambil berharap agar moratorium kepada kumpulan PKS bersifat automatik dan bukannya bersyarat dan akan dilanjutkan hingga akhir tahun ini.
Beliau juga berkata, rakyat menghargai menteri dan timbalan menteri telah mengambil potongan gaji selama tiga bulan serta berharap eksekutif tertinggi GLC dan bank yang memperoleh keuntungan berbilion-bilion juga akan mengambil potongan Gavin dan menyumbang kepada dana Covid-19.
Tetapi malangnya dalam kalangan ahli politik masih lagi mahu berpolitik. Mereka bukannya tidak tahu kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan.
Lagipun ada antara mereka bekas Menteri Kewangan dan ada pula cukup hebat mengulas mengenai ekonomi negara ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu tetapi senyap sunyi ketika Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan tetapi kini ‘berbunyi semula’ apabila Perikatan Nasional (PN) berkuasa.
Mereka tidak membahaskan secara rasional kekangan dihadapi kerajaan tetapi mencari ruang mana mereka boleh menonjolkan kononnya merekalah pembela rakyat, contohnya memperlekehkan sumbangan RM100 kepada orang bujang, mempersoalkan kenapa golongan M40 tidak dapat bantuan dan kenapa kilang arak masih dibenarkan beroperasi. Â
Sebenarnya, mereka ingin menutupi banyak lagi kebaikan dalam pengumuman Perdana Menteri tersebut seperti;
*Menambah kadar Geran Khas Prihatin atau GKP daripada RM500 kepada RM1,500. Â Melalui langkah itu hampir 1 juta Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai.
*Bersetuju  untuk memperuntukkan RM2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.
Yang mana  bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima kadar sebanyak RM300. Golongan bujang pula akan menerima RM100.
BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion.
* Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000  bas persiaran dan 62,000 rpemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan ini akan disalurkan kepada penerima  berdaftar pada bulan Julai.
*Gaji semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan  mulai Jun 2021.Penulis hanya memetik beberapa sahaja inisiatif yang berkaitan secara langsung dengan rakyat dan percaya ramai yang berasa lega dengan pemberian tersebut.
Tetapi bagi sesetengah politik mereka tidak melihat itu semua sebab itulah adalah yang persoalkan mengapa Muhyiddin tidak menjelaskan kepada rakyat kenapa pengisytiharan Darurat gagal mengekang penularan Covid-19.
Soalnya, wajarkah Perdana Menteri memberi ‘kuliah’ itu ketika rakyat menanti-nantikan apakah bentuk bantuan yang akan mereka terima?
Sebenarnya, tidak kiralah sebaik manapun usaha kerajaan, sehebat manapun langkah dilakukan, bagi kelompok yang mahu meraih keuntungan politik, mereka akan terus mempolitikkannya.
Sepatutnya mereka berterima kasih kerana kerajaan berusaha membantu rakyat dan ada juga cadangan mereka  dipenuhi walaupun  tidak semua.
Malangnya tidak ada sekelumit pujian terutamanya bagaimana Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan sedangkan inilah yang menjadi modal politik dalam kalangan mereka sebelum ini untuk ‘menyerang’ kerajaan.
Namun begitu, penulis percaya kerajaan akan terus berusaha membantu rakyat dan memperbaiki bentuk bantuan yang diberikan apabila kewangan negara mengizinkan.
Sebelum ini pun sudah terbukti, apabila kerajaan mengumumkan pakej rangsangan, ada antaranya ditambah baik selepas mendengar pandangan dan respons rakyat.Â
Dan pakej-pakej itu  berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan bukannya mahu popular seperti mana sikap sesetengah pemimpin yang begitu hebat dalam media sosial seolah-olah mereka paling bijak menguruskan negara ini.
Justeru biarkan sahaja ahli-ahli politik dengan jiwa dan fikiran politik mereka, serah kepada rakyat menilai.Lagipun ini cabaran luar biasa yang tidak pernah dialami oleh negara.
Oleh itu pastilah ada kelemahan di sana sini dalam menguruskannya tetapi lambat laun, inshaAllah, ia akan berjaya diatasi dan diharungi, yang penting keikhlasan membela nasib rakyat – pelaksanaan pakej-pakej bantuan dan rangsangan sudah menjadi bukti.

