kenan haiwan kerana zalim

Semua makhluk yang diciptakan Allah berzikir dan berdoa. Mereka juga dijadikan berperasaan seperti manusia sebagaimana kisah mimbar Nabi Muhammad s.a.w. yang menangis kerana tidak lagi digunakan. Kisahnya begini.

Satu hari, ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba Baginda terdengar suara tangisan. Baginda dan sahabat mencari-cari datangnya bunyi tangisan tersebut. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang dari batang tamar mimbar lama.

Baginda segera mendapatkan batang tamar lalu menepuknya seraya memujuk dan bertanya sebab tangisan itu. Lantas batang tamar menjawab bahawa dia sedih kerana tidak lagi digunakan oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Usahlah bersedih wahai batang tamar. Walaupun engkau tidak lagi berkhidmat untukku. Namun, aku berjanji engkau akan bersamaku di syurga nanti.”

Mendengar jawapan Baginda, batang tamar terus berhenti menangis dan redha dengan apa yang terjadi. Apa yang penting, dia akan bersama kekasih Allah di syurga nanti.

Begitulah juga haiwan yang memiliki perasaan sebagaimana manusia. Mereka juga ada rasa sedih, marah dan mungkin dendam. Namun, dendam yang dimiliki haiwan tidaklah seperti dendam manusia sehingga berlakunya pergaduhan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Tindakan mereka cukup terbatas kerana Allah menjadikan mereka hanya memiliki otak dan tidak bersama akal sebagaimana manusia sempurna.

Malah dendam yang mereka lakukan juga hanya pada tempatnya. Kita sedia maklum bahawa Islam telah menggariskan panduan bagaimana berhadapan dengan haiwan-haiwan yang pelbagai kategori.

Haiwan juga boleh berdoa kepada Allah jika mereka dizalimi.

Dari jenis yang perumah, perosak, ganas dan sebagainya. Jika kita berhadapan dengan haiwan yang boleh mendatangkan kemudharatan, maka kita wajib membunuhnya untuk mempertahankan diri.

Seperti membunuh ular yang dikhuatiri boleh meragut nyawa dan sebagainya. Namun, jika sebaliknya adalah haram untuk memukul atau mencederakannya.

Apabila haiwan boleh berzikir, maka dia boleh juga berdoa kepada Allah. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

Para nabi dalam kalangan umatnya telah keluar me­mohon hujan kepada Allah. Maka tiba-tiba dalam kalangan mereka terdapat seekor semut mengangkat anggotanya ke langit (juga memohon). Maka Nabi Sulaiman berkata, ‘Pulanglah, sesungguhnya telah mustajab permohonan kamu disebabkan se­ekor semut ini.” – HR al-Hakim

Tidak mustahil mereka boleh berdoa kepada Allah agar melaknat penganiayanya. Bagaimanapun menganiaya makluk Allah ada dua iaitu aniaya secara adil dan aniaya secara saja-saja.

Aniaya secara adil seperti membunuh haiwan yang memudharatkan manakala aniaya saja-saja seperti memukul dengan sengaja tanpa sebarang alasan. Maka doa haiwan yang dianiaya secara saja-saja inilah yang akan terus sampai kepada Allah.

Kenan satu kepercayaan jahiliah

Begitu juga kepercayaan kenan dalam masyarakat Melayu khususnya ibu-ibu hamil. Bermula dari pantang-larang tidak boleh berburu atau memancing, hingga tidak boleh memaku rumah menjadi tajuk perbualan hangat.

Hingga kesimpulan akhirnya sudah cukup buat si ibu hanya perlu berbaring sahaja tanpa melakukan apa-apa sepanjang menunggu tempoh kelahiran kerana khuatir sesuatu yang tidak baik berlaku.

Dalam perihal kenan, ia sebenarnya adalah kepercayaan khurafat masyarakat yang percaya wujudnya kuasa nenek moyang atau kepercayaan animisma. Ia adalah amalan karut yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah kerana percaya kepada wujudnya kuasa haiwan sehingga membataskan aktiviti harian kita.

Ini dapat dibuktikan melalui hadis Rasulullah s.a.w.

“Percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik.” – HR Abu Daud

Sebenarnya ‘kenan’ atau kecacatan yang terjadi kepada bayi tiada kaitan langsung dengan sumpahan haiwan yang didakwa umum. Ia terjadi secara kebetulan atau mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan ibu sepanjang kehamilan.

Biasalah ibu hari ini lebih terdedah kepada bahan kimia yang pelbagai. Dari makanan hingga udara persekitaran berkait rapat dengan pembesaran bayi dalam kandungan. Namun, kita sebagai umat Islam harus ingat semuanya datang dari Allah. Malah Allah berhak menguji hamba-Nya.

Tindakan orang-orang tua terdahulu memaklumkan perkara ini mungkin kerana tidak mahu tingkah laku dan perbuatan ibu dan ayah mempengaruhi sikap bayi dalam kandungan kelak.

Namun, apabila sampai kepada kita persepsi tersebut berubah dan pengangan itu juga bertentangan. Jika sekiranya ia terjadi, maka beristighfarlah memohon keampunan dari Allah agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini. Tetapi, jika ia terjadi juga anggaplah itu ujian Allah.

Masyarakat Melayu percaya berbuat zalim kepada haiwan boleh menyebabkan kenan atau sial kepada anak.

Kenan atau sial itu sebenar ada pada diri individu yang percaya kepada amalan tersebut. Sebagai umat Islam kita tidak seharusnya berpegang pada amalan itu kerana ia sama sekali bercanggah dengan rukun Islam kelima iaitu percaya kepada qada’ dan qadar Allah. Adakalanya Allah akan bertindak mengikut apa yang kita fikirkan.

Namun, tidak mustahil juga kenan boleh terjadi kerana doanya untuk individu yang menganiayanya. Cuba kita perhatikan orang-orang yang membela kucing, lembu, kambing dan sebagainya, rezeki yang mereka perolehi cukup murah.

Sehingga mereka mampu menunaikan haji atau umrah berkali-kali. Mungkin kerana doa haiwan-haiwan pelihaaan mereka. Begitu juga sekiranya haiwan tersebut dianiaya, maka dibayar tunai oleh Allah supaya manusia belajar dari tindakan tersebut.

Oleh itu, jika kita berhadapan situasi seperti ini tidak kiralah hamil atau tidak, jagalah tingkah laku agar tidak menimbulkan kemurkaan Allah. Namun, jika ia dilakukan tanpa sedar atau secara tidak sengaja, kembalilah kepada Allah.

Mintalah keampunan dari Allah kerana dia Maha Mengetahui. Malah, itu lebih baik dari terpesong akidah kerana percaya kepada sesuatu yang boleh mendatangkan syirik. Wallahu a’lam.

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram