Tangkap layar kemalangan sebuah kereta dengan sebuah lori di Utah, Amerika Syarikat.


POLIS negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) terkejut besar apabila menemukan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun memandu sebuah kereta dengan ditemani adik perempuannya berumur empat tahun di tempat duduk penumpang dalam satu kejadian awal pagi kelmarin.

Memetik laporan BBC, kedua-dua budak itu memaklumkan mereka sedang dalam perjalanan ke California  kerana mahu berenang di pantai.

Menurut Jabatan Polis West Valley City (WVC) dalam ciapannya di Twitter, budak perempuan itu telah memandu melalui dua jalan utama namun berlanggar dengan sebuah kereta sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Kedua-dua beradik itu bagaimanapun bernasib baik tidak mengalami kecederaan kerana memakai tali pinggang keledar.

Kata polis, kanak-kanak itu bangun dari tidur pada pukul 3 pagi Rabu dan memandu kereta Chevy Malibu ketika ibu bapa mereka sedang tidur di rumah mereka di West Jordan.

Kedua-duanya merancang memandu ke California atau 1,244 kilometer yang memerlukan sekurang-kurangnya 10 jam perjalanan untuk bercuti di pantai.

“Budak perempuan sembilan tahun itu Mandi kereta sejauh 16 kilometer sebelum dia berlanggar dengan sebuah kereta dan sebuah lori tidak lama kemudian,” ciap polis.

Pemandu lori yang tidak cedera telahpun menghubungi polis selepas dia melihat kereta dipandu budak perempuan itu berlanggar dengan sebuah kereta.

Rakaman video dari sebuah kamera badan seorang anggota polis di lokasi menunjukkan keadaan selepas kemalangan dan kerosakan dialami kereta Chevy Malibu.

Seorang pegawai polis dapat didengar berkata:”Gila! Dia yang memandu?”.

Jurucakap polis, Detektif Scott List berkata, ibu bapa kedua-dua budak perempuan itu tidak tahu akan kehilangan anak mereka sehingga polis menghubungi mereka.

“Ibu bapa kanak-kanak itu ketakutan dan terkejut apabila mendapati anak-anak mereka tiada di rumah,” katanya kepada media tempatan.

Sebelum ini, insiden serupa berlaku di Utah awal tahun ini melibatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun memandu kereta keluarganya untuk membeli sebuah kereta sport Lamborghini.

Kanak-kanak itu memberitahu polis dia berniat demikian selepas ibunya enggan membelikan kereta itu untuknya.