KERAJAAN sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati  menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Kalau ikut perancangan kita, saya harap kita dapat percepat vaksinasi, yang penting jangan ada orang berkata jangan vaksin.

“Kita tidak mahu separuh daripada orang kita sudah dapat suntikan manakala sebahagian lagi tidak dapat, kerana ini akan membawa kesan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Hari ini Dr.Adham dalam satu kenyataan berkata, seramai 1,122,420 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Beliau berkata angka itu merupakan peningkatan sebanyak 7,736 orang berbanding 1,114,684 pada Selasa.

Selain itu, seramai 2,208,016 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436, katanya dalam hantaran menerusi Twitter beliau.

Selangor merupakan negeri yang merekodkan dos lengkap tertinggi iaitu 145,636,  diikuti Sarawak (116,399), Perak (105,302), Kuala Lumpur (101,249) dan Johor (97,983).

Mengikut perancangan, fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.