tmj
GAMBAR: Instagram TMJ dan Motorbike.my

“TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.” – Perumpamaan tersebut diberikan sebagai bayangan kemungkinan pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah akan mendapat penaja baharu.

Penaja tersebut sudah tentu tidak lain dan tidak bukan adalah dari peminat sukan negara, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui berminat dengan pelumba negara tersebut.

Walaupun tiada sebarang perbincangan rasmi mengenai perkara tersebut, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan menyatakan mengenai minatnya ketika sesi soal jawab bersama peminat menerusi akaun Instagram miliknya, semalam.

Seorang pengikutnya mengajukan soalan: “Tuanku tidak berminat ke untuk sponser (taja) Hafizh Syahrin?”

Tunku Ismail kemudiannya menjawab secara ringkas: “Saya berminat.”

BERITA BERKAITAN TMJ titah Southern Volunteers bantu pusat vaksinasi

Hafizh, 27, ketika ini beraksi bersama pasukan NTS RW Racing GP dalam saingan Moto2.

Ahad lalu, pelumba berasal dari Selangor itu merekodkan pencapaian terbaiknya musim ini apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam saingan Grand Prix (GP) Itali biarpun bermula di petak ke-20.

Ketika ini, dia berada di tempat ke-21 dalam kedudukan pelumba dengan mengumpul lapan mata.

Jika benar, Tunku Ismail mahu menaja Hafizh atau turut dikenali sebagai El Pescao sudah tentu prestasi pelumba itu lebih padu selain boleh mengurangkan bebanan kewangannya yang dikatakan turut menggunakan duit poket sendiri untuk menyertai perlumbaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram