PICK: Jangan sekadar kritik, lihat juga sumbangan sendiri

Dari Penulis

Oleh SALADIN HASAN SALLEH 

SETAKAT semalam, hampir 13 juta individu atau 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak, telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ini bermakna ada separuh lagi yang belum berbuat demikian. 

Dengan sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini, sesuatu mesti dilakukan supaya kadar pendaftaran itu boleh dilonjakkan ke tahap 80 peratus. 

Tambahan pula, untuk tempoh dua bulan akan datang, Malaysia akan menerima kira-kira 16 juta dos vaksin dan jumlahnya dijangka terus meningkat selepas itu. 

Kadar vaksinasi yang kini berada para paras 100,000 suntikan sehari, dijangka melonjak ke angka 150,000 sehari bermula bulan ini.

Janganlah dalam masa beberapa bulan nanti situasinya menjadi terbalik apabila dos vaksin banyak tetapi yang bersedia menerimanya berkurangan.

Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan ialah mempermudahkan proses pendaftaran termasuk melaksanakannya secara automatik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan semua kementerian dan agensi terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan untuk mempermudahkan penduduk luar bandar, kampung dan pedalaman terutama warga emas menerima vaksin kerana ada yang yang sukar untuk membuat pendaftaran.

Sewaktu kerajaan bekerja keras untuk mencapai sasaran imuniti kelompok, kita tertanya-tanya apa pula peranan wakil rakyat dan parti politik pembangkang bagi membantu kelancaran program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara ini?

Nampaknya ramai yang sekadar pandai mengkritik PICK tetapi diri sendiri tidak berbuat apa-apa bagi membantu rakyat di kawasan mereka. Baik di Pekan, Bagan Datuk, Port Dickson, Iskandar Puteri atau di mana sahaja.

DAP umpamanya, cukup agresif jika melibatkan urusan pendaftaran pengundi baharu. Ceruk pasar mana yang mereka tidak buka payung untuk mendaftarkan pengundi.

Tetapi sehingga hari ini berapa banyak payung yang dibuka untuk mendaftarkan orang ramai termasuk warga emas dalam program vaksinasi?

Begitu juga UMNO yang cukup cekap mengatur pergerakan pengundi dalam Pilihan Raya Umum. Kenapa tidak gerakkan jentera untuk membawa warga emas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Jika ada perkhidmatan sebegini, susah tentu jumlah tidak hadir vaksinasi yang sudah mencecah puluhan ribu boleh diminimumkan.

Nampaknya, kalau melibatkan keuntungan politik, laju pula kerja mereka. Padahal kepentingan vaksin itu melangkaui garis politik kerana ia untuk kepentingan umat sejagat.

Sekiranya tidak mahu membantu kerana risau kejayaan PICK akan memberi kelebihan politik kepada parti pemerintah, tidak mengapalah. Asalkan duduk diam-diam, beri ruang kerajaan buat kerja.

Cuma yang jadi masalah sekarang, sudahlah tak membantu, mulut bising komplen sana sini pula. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anwar menghadap TMJ dalam suasana mesra, harmoni

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini. Menurut...

More Articles Like This