BERITA baik kepada hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga mikro apabila kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) sebanyak RM1,000 mulai Khamis ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembayaran itu melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang telah pun diluluskan permohonan dalam GKP 3.0.
Kata beliau, pembayaran secara berperingkat itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1 bilion.
Beliau berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai hari ini di pautan https://gkp.hasil.gov.my.
“Bayaran tambahan sebanyak RM500 melibatkan peruntukan hampir RM500 juta akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion.
“Secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir sejuta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara.
Baca artikel berkaitan: Ringan beban rakyat, PM umum Pemerkasa Plus RM40 bilion
Pemerkasa Plus usaha imbangi kesihatan dan ekonomi
“Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka terutama yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan pada 17 Mac lalu, kerajaan telah memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih satu juta peniaga mikro.
Pemberian itu adalah untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.
Pada 31 Mei lalu pula, melalui program Pemerkasa Plus, kerajaan telah mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh PKP 3.0, di mana jumlah tambahan sebanyak RM500 akan dibuat.
Ia sekali gus meningkatkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro dan bermakna jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

