SEPANDAI-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Kalau dah nama penjenayah, apa sahaja cara akan dilakukan bagi memastikan aktiviti tidak dikesan pihak berkuasa.
Walaupun menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dadah jenis heroin dan syabu, namun ia tidak menghalang daripada kegiatan berkenaan dihidu Polis Johor sehingga membawa kepada penangkapan empat suspek yang bertindak sebagai runner dan penjaga stor.
Hasil serbuan itu juga telah membawa kepada rampasan keseluruhan dadah dan sitaan kenderaan bernilai RM1.8 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bahagian siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah melancarkan tiga operasi khas bermula kira-kira 3.30 petang kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Kata beliau, serbuan pertama telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 21 serta 24 tahun bersama sejumlah dadah jenis heroin dengan hasil saringan ujian air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis ganja.
Baca artikel berkaitan: Geng Nicky: Polis perkemas kertas siasatan, teliti akaun bank – Ayob Khan
Hasil penahanan berkenaan, kata Ayob Khan, polis kemudiannya melancarkan operasi susulan dan berjaya menangkap dua lagi suspek lelaki berusia 34 dan 35 tahun bersama sejumlah dadah heroin dan syabu.
“Modus operandi mereka adalah dengan menyewa kondominium gated dan guarded sebagai stor penyimpanan dadah bagi pasaran tempatan dengan sindiket ini telah beroperasi sejak April tahun lalu.
“Kita berjaya merampas 34 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.2 juta dan 47kg heroin berjumlah lebih kurang RM598,000. Hasil siasatan mendapati dadah ini boleh digunakan oleh 411,000 penagih.
“Kita turut merampas dua kenderaan bernilai RM40,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan kenderaan adalah sebanyak RM1.8 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Keempat-empat suspek telah direman selama enam hari sehingga 15 Jun dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan baki ahli sindiket yang bergerak aktif walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Beliau berkata, kebanyakan dadah yang diperoleh dalam ketiga-tiga serbuan tersebut adalah dari Thailand.
“Kita tengok rampasan ini agak besar iaitu RM1.8 juta jadi tentulah mereka tak bergerak empat orang sahaja. Saya rasa mustahil. (Sudah tentu), ada orang menyalurkan dadah untuk mereka ambil dan simpan di stor.
“Sudah tentu ini melibatkan sindiket. Namun begitu, siasatan masih dijalankan.
“Operasi dadah ini memang kita buat secara berterusan. Kes ini pun, mula-mula kita tangkap dua suspek. Kalau kita berhenti setakat dua suspek, kita tak akan dapat membongkar stor penyimpanan dadah ini.
“Kita buat soal siasat dan dapat kenal pasti. Itulah format digunakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang telah banyak membawa kejayaan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

