SEORANG nelayan udang kara Amerika Syarikat (AS) terselamat daripada maut apabila dia ditelan seekor paus Humpback hidup-hidup dalam satu kejadian semalam.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi lelaki berusia 56 tahun itu apabila haiwan yang mampu membesar sehingga15 meter panjang dan berat 36 tan memuntahkannya semula.

BBC melaporkan, kejadian berlaku melibatkan Michael Packard semasa dia sedang menyelam di perairan Cape Cod, Provincetown dekat Massachusetts.
Namun kata Packard, selepas dia terjun daripada bot dengan memakai sut menyelam, secara tiba-tiba kesemuanya menjadi gelap antara 30 hingga 40 saat.
Katanya, dia menyangka diserang seekor jerung putih besar namun hairan kerana makhluk itu tidak bergigi tajam seperti sepatutnya.
“Saya kemudiannya sedar, oh Tuhanku, saya kini berada dalam mulut seekor paus dan ia cuba menelan saya. Mungkin ini lah harinya saya akan mati,” katanya semasa diwawancara WBZ-TV News.
Akibat kejadian itu, Packard yang telah 40 tahun menjadi nelayan di Cape Cod hanya cedera di bahagian lututnya yang terkehel.
Mengulas lanjut kejadian itu, nelayan veteran tersebut berkata, cuaca pagi Jumaat terbabit amat baik dengan tahap penglihatan air pada kedalaman kira-kira 6 meter.
Katanya, dia hanya teringatkan isteri dan dua anaknya yang berusia 15 dan 12 tahun semasa berada di dalam mulut haiwan berkenaan.
Ujarnya, kemudiannya secara tiba-tiba dia sudah berada di permukaan air selepas dimuntahkan paus berkenaan dan menggoyangkan kepalanya.
“Saya dimuntahkan ke udara dan jatuh ke dalam air. Saya bebas dan terapung. Saya sukar mempercayainya.Namun saya di sini untuk menceritakannya,” kata lelaki itu.
Rakan Packard yang melihat kejadian itu kemudiannya menarik lelaki berkenaan ke dalam bot.
Packard menambah, dia sama sekali tidak memikirkan untuk bersara di sebalik gesaan isterinya agar dia mencari pekerjaan lain.
Sementara itu, Jabatan Bomba Provincetown ketika dihubungi CBS mengesahkan ada menerima kejadian kecemasan untuk membantu nelayan udang kara berkenaan kira-kira pukul 8.15 pagi waktu tempatan di pantai Provincetown.

