nazim

DATUK Ahmad Nazim Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkuatkuasa 15 Jun 2021.

Pelantikan Ahmad Nazim itu bagi menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang meletakkan jawatannya pada 30 April lalu bagi menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu.

Pengerusi LTAT, Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata Ahmad Nazim akan memainkan peranan penting dalam menerajui inisiatif transformasi serta memacu halatuju LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing.

“LTAT juga yakin pengalaman luas beliau sebelum ini dalam sektor korporat dan pelaburan di beberapa pusat kewangan terkemuka dunia akan membawa perspektif baru bagi menjayakan pelaksanaan strategi transformasi bagi LTAT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BERITA BERKAITAN Ismail Sabri: Dividen LTAT 2020 meningkat 3.5% berbanding 2.5% pada 2019

Sebelum itu, Ahmad Nazim pernah berkhidmat sebagai CEO Pelaburan MARA Bhd dari 2013 sehingga 2018 serta anggota lembaga perintis National Bank of Abu Dhabi (Malaysia) Bhd.

Beliau kini juga adalah anggota lembaga pengarah Suruhanjaya Tenaga, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Omesti Bhd dan Regulus Advisors Pte Ltd.

“Ahmad Nazim memegang sarjana dalam bidang ekonomi dan polisi awam dari Sciences Po, Perancis dan Sarjana Undang-undang serta pemegang anugerah J William Fulbright dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat

“LTAT juga merakamkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Kewangan LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi atas kepimpinan serta sumbangannya ketika menanggung tugas CEO sejak 3 Mei lalu,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram