Jude Bellingham hanya berusia 17 tahun tetapi mendapat kepercayaan pengendali England pada aksi menentang Croatia. Pemain Dortmund itu mencatat sejarah pemain termuda beraksi di Euro./ Gambar FB Euro 2020.

PENGENDALI England, Gareth Southgate kelmarin memberi peluang kepada pemain berusia 17 tahun merasai aksi pertama di pentas Euro 2020.

Walau pun masuk sebagai pemain simpanan, namun peluang diperoleh Jude Bellingham tidak diperoleh semua pemain sebaya dengannya.

Membawa masuk Bellingham ketika England hanya mendahului 1-0 tentunya satu risiko untuk Southgate ketika mana bangku simpanan masih mempunyai opsyen pemain ternama.

Namun, pertaruhan Southgate memihak kepadanya dan Bellingham mencipta sejarah pemain termuda di pentas Euro sepanjang sejarah kejohanan itu.

Hakikatnya tak ramai jurulatih berani seperti itu apatah lagi di rantau ‘belah-belah’ sini. Mereka masih melihat usia pemain berbanding siapa yang layak.

Umur 21, 19, atau 17 tahun sekali pun bukan ukuran sepatutnya, apatah lagi yang diturunkan sebagai pilihan pun berusia 34, 35 tahun – senja dalam bola sepak.

Sedangkan Kylian Mbappe menjadi tonggak Perancis sehingga menjulang Piala Dunia FIFA 2018 ketika usianya belum pun 20 tahun.

Masih juga ingat bagaimana pada saingan Piala AFF Suzuki 2010, Indonesia menggunakan penyerang naturalisasi dari Amerika Selatan.

Macam gah sangat, tapi Uruguay pun dapat dijinakkan Muslim Ahmad dan Fadhli Shas. Muslim ketika itu berumur 21 manakala Fadhli, 19 tahun.

Baca artikel berkaitan: Liga M pun asyik isu gaji, dapatlah naturalisasi macam yang ada

Dalam perancangan Tan Cheng Hoe untuk berdepan Thailand malam ini, sudah tentu macam-macam bermain di fikirannya.

Beliau ada sekumpulan pemain muda di bahagian serangan dan begitu juga yang berusia dan naturalisasi.

Mana jadi pilihan, itu kuasa Cheng Hoe. Harapnya pilihan jurulatih Harimau Malaya itu tepat kerana harapan peminat tinggi menggunung mahu melihat Malaysia meneruskan harapan layak ke Piala Asia.

Kalau ditanya ramai, Arif Aiman Hanapi yang menjadi kesebelasan utama di peringkat kelab perlu mendapat peluang.

Ariff Aiman Hanapi ketika dibawa masuk menentang Vietnam dan ramai puji aksi pemain berusia 19 tahun itu.

Begitu juga penyerang berpengkalan di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin.

Satu lagi bab bagaimana Southgate meninggalkan pemain Manchester United dan Liverpool di bangku simpanan ketika menentang finalis Piala Dunia kelmarin.

Itu pun menarik. Reputasi satu bab tetapi siapa yang sedang ‘form’ sememangnya harus diberi peluang.

Walaupun bermain hanya untuk Leeds United dan Aston Villa sekali pun, Kalvin Phillips, Tyrone Mings jadi pilihan diturunkan.

Tak semesti dari kelab itu sahaja kan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram