WANITA hamil 12 minggu yang koma akibat dipukul suami kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban dan dijaga oleh adiknya Fazariah Nordin yang berasal dari Bandar Sri Sendayan.
Sebelum ini, wanita yang merupakan isteri ketiga itu didakwa dipukul suaminya, Rosmaini Abd Raof, 38, dimasukkan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk menerima rawatan.
Pada 17 Mei lepas, media melaporkan Jahidah Nordin, 43, yang merupakan seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dikejarkan ke HSA selepas mengalami kecederaan parah.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memaklumkan Jahidah dipindahkan dari HSA, Johor Bahru ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
“Fazariah ketika ditemui tengah hari tadi memaklumkan Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSA namun dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak HSA,” menurut MAINS dalam kenyataan di laman Facebook semalam.
BERITA BERKAITAN Peniaga pukul isteri sampai koma mohon jaminan ringan sebab perlu tanggung 3 isteri
Kenyataan itu menyebut MAINS, melalui Unit Khidmat Kesihatan, memaklumkan agensi itu telah menghulurkan bantuan wang tunai sebagai permulaan dan mengambil beberapa maklumat lain bagi bantuan seterusnya.
Suami mangsa, Rosmaini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam mengaku tidak bersalah mencederakan isteri ketiganya itu sehingga parah dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Rosmaini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isteri kedua, Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

