Kali terakhir DUN Negeri Sembilan bersidang ialah pada 3 Dis 2020.

SELEPAS Johor, Negeri Sembilan pula mengumukan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dijadualkan berlangsung pada minggu pertama Ogos depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, sidang yang akan dibuat secara bersemuka itu juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam.

“Kita telah minta Unit Dewan menghantar notis dan warta bagi memastikan perjalanan (sidang DUN) dapat kita jalankan,” katanya kepada pemberita seperti yang dilaporkan Bernama.

Kali terakhir DUN negeri ini bersidang ialah pada 3 Dis 2020.

Pada 18 Jun lepas, Aminuddin berkata kerajaan negeri bersedia mengadakan sidang DUN setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, mengenai SOP pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha bulan depan, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan.