ingkar
ISMAIL SABRI YAAKOB

SERAMAI 696 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dan daripada jumlah itu, seramai 671 individu dikompaun dan 25 lagi direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (163 kesalahan), 156 tidak memakai pelitup muka dan 118 individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis.

Seramai 107 melakukan kesalahan tiada penjarakan fizikal, 58 individu tidak patuh arahan kawalan pergerakan, 36 membawa penumpang berlebihan, 13 premis gagal patuhi arahan dan 45 melakukan lain-lain kesalahan.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 97,560 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,706 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 21,248 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan akhbar.

Sementara itu, kerajaan juga mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 97,560 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 21,248,” katanya.

BERITA BERKAITAN Ingkar SOP di Kelantan, kesalahan rentas daerah catat kes tertinggi

Pada 24 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 1,716 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,417 premis perniagaan daripada jumlah itu, dua kilang dan 11 premis telah diarahkan tutup.

Bagi aktiviti kawalan sempadan, Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam telah menangkap 25 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas 14 buah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, sebanyak 150 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 12 aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Op BENTENG melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 951 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam iaitu:

  • Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) – 897 SJR
  • Op BENTENG PDRM – 45 SJR
  • Op BENTENG AKSEM – 9 SJR

Sementara itu, seramai 349 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 233,654 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 75 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,528 individu telah dikuarantin dan 223,312 orang dibenarkan pulang manakala 2,814 lagi dibawa ke hospital. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram