SEBUAH portal melaporkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mungkin akan menjadi Presiden UMNO sehingga 2023 memandangkan parti itu tidak boleh mengadakan pemilihan berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, kepada portal FMT, parti itu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, atau sehingga situasi pulih, kerana wabak Covid-19.
Beliau berkata, walaupun pemilihan boleh dijalankan secara maya, ia mustahil ketika ini kerana 3 juta ahli di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi dalam proses itu.
“Menurut perlembagaan UMNO, kita boleh tangguh selama 18 bulan…tapi tak semestinya kita perlu tunggu selama itu. Sekiranya keadaan bertambah baik, kita boleh dan akan adakan pemilihan lebih awal,” katanya lapor portal tersebut hari ini.
Namun begitu biarpun pemilihan ditangguh ia bukan bermaksud, Ahmad Zahid berada dalam situasi selesa di kerusi Presiden. Ketika ini Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhadapan dengan pelbagai tekanan dari dalam parti itu sendiri.
Kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Nazri Aziz yang mendedahkan, 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani akuan bersumpah sebagai akuan mandat untuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR telah membuktikan Ahmad Zahid bukanlah berada dalam kedudukan selesa.

Biarpun ada beberapa pemimpin UMNO dilihat terus berada di dalam sindrom penafian berhubung kedudukan Ahmad Zahi dengan kenyataan-kenyataan boleh dianggap ‘melucukan’ namun mereka sama sekali tidak boleh menafikan penolakan terhadap kepemimpinan Ahmad Zahid.
Apatah lagi, dalam kalangan pemimpin UMNO mereka melihat ada sesuatu tidak kena khususnya melibatkan gagasan jajaran baharu politik yang cuba dicetuskan oleh Ahmad Zahid.
Beberapa kejadian yang mengaitkan Ahmad Zahid dengan Anwar menyebabkan ada pemimpin UMNO mula tertanya-tanya ke mana Ahmad Zahid membawa UMNO, apakah benar mahu mewujudkan kerjasama dengan PKR dan Anwar yang pasti bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO ‘No Anwar, No Dap’.
Atas sebab itulah seperti mana kata Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, UMNO memerlukan seorang presiden baharu yang lebih jelas hala tuju kepimpinannya, bagi memacu parti dan mengatasi perpecahan yang berlaku.
Seperti mana dilaporkan FMT, Dr.Salawati berkata, tekanan terbaru ke atas Ahmad Zahid menampakkan dengan ketara bahawa beliau tidak lagi relevan untuk menerajui UMNO apabila satu persatu isu timbul.
“Sepatutnya Zahid berundur dengan cara baik sebab beliau tidak lagi relevan untuk pimpin UMNO, tapi ‘puak-puak lama’ masih lagi mempertahankan beliau atas sebab tertentu. Kalau tidak diubah kepimpinan dalam UMNO, PRU (pilihan raya umum) nanti Umno mungkin akan berdepan sekali lagi kekalahan,’’ katanya.
AgendaDaily pula memetik kenyataan Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis yang menegaskan, Ahmad Zahid kini berada di posisi yang lemah kerana UMNO kini tidak memiliki kuasa.
“Jelas kepimpinan Presiden itu tidak kuat seperti dahulu sehingga tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi kini, tidak seperti dahulu ketika jadi pemerintah. Presiden sudah tiada kuasa penawaran untuk meredakan krisis dalaman, kalau dulu lain sebab ada kuasa,” katanya.
Sementara itu Astro Awani pula memetik pandangan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil berkata, Ahmad Zahid kini dilihat sebagai beban kepada UMNO dan tidak lagi relevan untuk parti Melayu terbesar negara itu.
“UMNO sepatutnya perlu mempunyai hala tuju yang jelas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sama ada mahu memperbaiki semula keyakinan rakyat untuk memilih mereka atau terus mempertahankan pemimpin tertentu.
“Apabila sudah ada pemimpin sedemikian, secara tidak langsung rakyat melihat parti itu sendiri sebenarnya banyak masalah berdasarkan ketidaksediaan pemimpin lain untuk menukar ketuanya.
“Perkara itu penting, kalau ketuanya ada masalah, maka rakyat meletakkan satu ketidakyakinan kepada parti itu, jadi sebelum PRU akan datang, UMNO perlu membuat sesuatu supaya sokongan rakyat kembali,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Jamaie berkata, adalah suatu yang tidak masuk akal jika UMNO mempertahankan pemimpin seperti Ahmad Zahid.
“Saya tidak kata Ahmad Zahid tidak ada karisma tetapi disebabkan masalah-masalah seperti itu, UMNO perlu cari satu penyelesaian cepat supaya ada keyakinan rakyat untuk mengundi kepada BN semula.
“Ahli-ahli akar umbi dilihat mahu menggantikan kepimpinan sedia ada dan Ahmad Zahid dipercayai tidak lagi akan kekal memegang jawatan itu nanti.
“UMNO perlu berbuat sesuatu dengan cepat supaya keyakinan rakyat untuk mengundi balik UMNO atau gabungan bersama UMNO sama ada Muafakat Nasional (MN) atau BN dalam PRU15 akan jadi kenyataan,” katanya.
Persoalannya adakah Ahmad Zahid bersedia untuk berundur sebelum dikalahkan dalam pemilihan parti?
Selain isu berkaitan dengan Anwar, kes mahkamah yang dihadapi beliau juga sedikit sebanyak boleh menjejaskan kredibilitinya, biarpun kes tersebut masih di peringkat perbicaraan.
Ada pandangan supaya Ahmad Zahid bercuti sekali lagi dan menyerahkan kepada Mohamad Hasan untuk menyusun semula parti yang kini berantakan dan sekaligus membuat persiapan bagi menghadapi PRU-15.

