
JUMLAH mangsa yang disenaraikan hilang dalam tragedi runtuhan sebuah pangsapuri 12 tingkat di bandar Miami, Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 159 orang, dedah pihak berkuasa.
BBC melaporkan, pihak berkuasa tempatan turut mengesahkan sebanyak empat orang maut dalam insiden awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, punca sebenar sebahagian besar pangsapuri Champlain Towers di Surfside itu runtuh masih tidak diketahui.
Datuk Bandar Miami-Dade Daniella Levine Cava berkata, mereka masih mengharapkan akan menemukan mangsa terselamat.
Pasukan penyelamat di lapangan mendakwa, mereka mendengar bunyi bising di bawah sisa runtuhan bangunan berusia 40 tahun itu.
Presiden AS, Joe Biden dalam pada itu meluluskan satu perintah darurat untuk Florida bermakna Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan akan membantu agensi kerajaan negeri dalam usaha menyelamat.

Ratusan penyelamat menggunakan kamera sonar dan anjing terlatih khas dalam usaha mencari mangsa.
Pasukan penyelamat bertugas sepanjang malam menggali terowong dari sebuah kawasan parkir bawah tanaha di bawah pangsapuri untuk mendapatkan mangsa.
Datuk Bandar Surfside, lokasi tragedi itu berlaku, Charles Burkett berkata, sebanyak 15 keluarga berjaya keluar dari bangunan itu.
Kebanyakan penduduk sedang tidur ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan.
“Agak menyedihkan kerana tidak bagi saya … bahawa kita akan menemui orang yang hidup,” kata Burkett.
Bagaimanapun, Daniella menegaskan, mereka akan melakukan apa cara yang mungkin untuk mencari mangsa.
“Kita akan terus mencari dan menyelamat kerana kita masih berharap untuk menemukan mangsa yang masih hidup,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa tidak putus berharap orang kesayangan mereka masih hidup walaupun sedar peluang agak tipis.
Nicolas Fernandez berkata, usahanya menghubungi ahli keluarganya yang hilang sama sekali tidak berjawab.
“Saya percaya mereka telah tiada.Saya tidak mahu bersikap negatif, tetapi kami telah hubungi mereka tanpa henti namun gagal,” katanya.