Pihak berkuasa kesihatan China melaporkan 143 jangkitan baharu koronavirus, 108 daripadanya adalah jangkitan tempatan. Foto GAMBAR HIASAN


THAILAND akan menutup ratusan tapak pembinaan dan melarang pekerja daripada meninggalkan kem yang menjadi tempat tinggal mereka selama sebulan berikutan kemunculan banyak kluster jangkitan Covid-19 dari premis itu di ibu negara ini.

Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha berkata, langkah itu dibuat dalam usaha Bangkok mengatasi wabak coronavirus (Covid-19) terburuk di negara ini setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 575 tapak pembinaan di Bangkok yang menempatkan kira-kira 81,000 pekerja mencetuskan 37 kluster Covid-19 sejak Mei lalu.

Beliau berkata, tapak pembinaan di beberapa wilayah dekat Bangkok dan empat lagi di wilayah selatan dekat Malaysia juga akan ditutup bermula minggu depan.

“Mari lakukan ini selama sebulan. Keadaan akan kembali pulih kemudian.

“Kementerian buruh akan membayar ganti rugi untuk menghentikan projek pembinaan,” katanya.

Menteri Buruh Suchart Chomklin dalam pada itu berkata, polis akan memeriksa kem pembinaan untuk keselamatan dan memastikan tidak ada pekerja keluar daripada premis terlibat.

Tambahnya, ia dilakukan sementara pihak berkuasa membuat ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja tapak pembinaan yang majoritinya adalah warga asing.

Sementara itu, Prayut menjelaskan, perincian langkah-langkah yang mensasarkan perniagaan dan kawasan tertentu dijangka akan diumumkan sebelum hari Isnin.

Tambahnya, beliau tidak mahu langkah “lockdown” itu menjadi sia-sia dan menggesa orang ramai di kawasan wabak membataskan pergerakan mereka.