KERAJAAN memutuskan kaunter perkhidmatan kerajaan di seluruh negara akan beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai ini selepas meneliti keperluannya yang mendesak berdasarkan maklum balas awam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan di media sosialnya berkata, bagaimanapun, pembukaan kaunter pejabat kerajaan itu perlu mengikuti tatacara pengoperasian tertentu.
Katanya, tatacara tersebut ialah perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak nmelebihi 50 peratus dan kehadiran hanya melalui temu janji berjadual.
“Ketua Jabatan hendaklah memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi setiap masa mengimbangi penyampaian perkhidmatan yang optimum kepada pelanggan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat bertugas,” katanya.
Pada ketika ini, kebanyakan perkhidmatan kaunter kerajaan tidak beroperasi secara fizikal dalam tempoh Fasa Pertama Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.
Sejak 1 Jun, kaunter kerajaan yang dibuka ketika ini adalah melibatkan perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen dan kuarantin.
BERITA BERKAITAN PKP: Operasi kaunter perkhidmatan Tabung Haji ditutup, kecuali urusan kritikal

