KERAJAAN memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan dan Taman Public, Kota Kinabalu, mulai Jumaat ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas membuat penilaian risiko, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di Penjara Jelebu (kecuali Blok Muhasabah yang menempatkan tahanan PTP) dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan dari 2 sehingga 15 Julai
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 793 ujian saringan dan 132 daripadanya dikesan positif COVID-19 yang melibatkan tahanan, kakitangan penjara dan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, KKM mendapati trend kes harian terus meningkat di Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan dan sehingga kini, sebanyak 28 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil saringan ke atas 172 penduduk di lokaliti tersebut.
BERITA BERKAITAN Lima lokaliti di Lembah Klang, satu Terengganu kena PKPD
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan berkuat kuasa 2 sehingga 15 Julai ini,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata, PKPD akan dilaksanakan di Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh sama selepas membuat penilaian situasi semasa kes COVID-19 di kawasan tersebut.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 16 ujian saringan dan sembilan daripadanya direkodkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 56.25 peratus,” katanya.
Bagi PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah pula, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan kawalan pergerakan di kawasan tersebut yang dijadualkan tamat esok.
Dalam tempoh pelaksanaan PKPD, KKM telah melakukan 935 ujian saringan dan 89 daripadanya disahkan positif COVID-19 dan mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah dari 2 sehingga 15 Julai ini,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

