PELAKSANAAN Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara akan berpaksi kepada faktor kemanusiaan dan dijangka meningkatkan 30 peratus produktiviti pada semua sektor.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar itu juga akan meletakkan Malaysia pada kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada 2030.
Beliau berkata, keperluan menjadi negara berteknologi telah mendorong kerajaan menggubal 4IR yang akan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.
Mustapa berkata, berbanding revolusi sebelumnya, revolusi industri keempat tidak hanya mengenai mesin, teknologi dan sesebuah sistem tetapi meliputi gabungan fizikal, digital dan biologi
“Ia yang membuka peluang kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat keseluruhnya untuk memanfaatkan kemajuan teknologi bagi memastikan negara kekal berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran perubahan di masa hadapan yang ‘volatile, uncertain, complex dan ambigious’,” katanya.
Katanya, dasar 4IR Negara telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi di samping mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya.
“Ini adalah selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) bagi mencapai kesejahteran rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan,” katanya pada majlis pelancaran Dasar 4IR Negara secara maya hari ini yang turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Mustapa berkata, Dasar 4IR Negara mengandungi empat teras utama untuk masyarakat, perniagaan dan kerajaan.
Teras tersebut adalah:
Pertama, melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR.
Kedua, membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.
Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi, dan
Keempat, mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

Katanya, keempat-empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.
“Teras ini akan dilaksana berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang telah dikenal pasti,” katanya.
Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif.
Mustapa berkata, usaha-usaha pembangunan teknologi yang djalankan juga telah berjaya meningkat kedudukan Malaysia kepada kedudukan ke-33 daripada 131 negara dalam Global Innovation Index pada tahun 2020.
“Malah, dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan kedua di belakang Singapura,” katanya.
Katanya, dalam aspek kesediaan Malaysia dalam menerima guna teknologi, terutamanya teknologi digital, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 daripada 63 negara dalam IMD World Digital Competitiveness Ranking 2020.
Melalui pelaksanaan Dasar 4IR Negara, Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 137.6 pada tahun 2030, berbanding 124.4 pada tahun 2018.
5 teknologi teras
Sementara itu, Khairyberkata, kerajaan telah mengenalpasti 5 teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (Big Data Analytics, BDA).
Beliau berkata, kesemua lima teknologi teras itu sebelum ini telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara.
“Baik melalui big data analytics, AI, cloud computing, blockchain mahupun IoT, kesemuanya telah membantu manusia daripada segi perancangan, pelaksanaan mahupun keputusan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Malaysia bukanlah negara yang paling terkehadapan dalam pengadaptasian teknologi, namun Malaysia juga bukanlah negara yang terkebelakang.
“Sebagai contohnya, sejak tahun 1999 lagi, Malaysia menerajui penyelidikan genetik bio molekul Virus Nipah 9 yang menjadi rujukan seluruh dunia iaitu penyakit zoonosis, yang berjangkit dari haiwan ke manusia.
“Penggunaan bioteknologi dengan teknologi ICT dalam industri pemprosesan makanan dan pertanian tepat (precision farming) juga berkembang dengan galakan penggunaan teknologi moden dalam aktiviti pengeluaran dan pemprosesan berasaskan pertanian,” tambahnya.
Katanya, manakala bagi sektor pembuatan pula, sebagai antara pemain utama dunia dalam pembuatan cip semikonduktor dalam industri elektrikal dan elektronik, Malaysia juga kehadapan dalam penghasilan cip menggunakan teknologi gallium nitride on silicon (GaN-on-Si) dan gallium nitride on gallium nitride (GaN-on-GaN).
Penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan pensterilan sinar gamma yang dilaksanakan oleh Agensi Nuklear Malaysia pula telah membantu melonjakkan industri pembuatan peranti perubatan khususnya semasa pandemik COVID-19, katanya.
Malaysia kini berada di tangga ketiga dunia sebagai hab tenaga solar dan teknologi hijau dan mempunyai berpotensi besar dalam menjana tenaga solar menerusi sistem panel photovoltaic (PV) di atas bumbung bangunan.
Selain itu, Malaysia juga kini menggunakan teknologi Blockhain iaitu Vaccine Management System (VMS) bagi membantu proses jejak dan kesan vaksin COVID-19 daripada pengeluar sehingga penerima vaksin di bawah pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
(PICK).
Katanya, VMS juga akan menerbitkan sijil vaksinasi digital yang mematuhi garis panduan World Health Organization (WHO) bagi memudahkan pergerakan rentas negeri serta perjalanan keluar dan masuk sempadan negara.
“Namun segala kemajuan yang kita lihat ketika ini bukanlah penamat. Kepesatan teknologi tidak akan berakhir pada hari ini. Malah apa yang ada pada hari ini mungkin dilihat tidak lagi relevan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
Dalam usaha memastikan pembangunan teknologi berfungsi sebagai pembolehdaya transformasi 4IR meliputi segenap aspek kehidupan dan industri,
MOSTI juga sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju (roadmap) teknologi iaitu roadmap pembangunan teknologi Elektrikal dan Elektronik, vaksin, blockchain, ekonomi hidrogen, teknologi nano, kecerdasan buatan, robotik, bahan termaju serta R&D, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.
Melalui inisiatif ini, strategi yang dirangka akan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran masa hadapan sejajar dengan teras 4IR yang merentasi domain digital, fizikal dan biologi ke arah mencapai negara maju berteknologi tinggi. – UtusanTV

