PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) mengajak seluruh rakyat mendoakan kesihatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima rawatan di hospital agar diberikan kesembuhan dan dapat kembali semula bertugas memimpin negara.

Yang Dipertuanya, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, dalam masa yang sama, PUM turut mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat Malaysia daripada wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.
Menurut Abdul Halim, semua pihak perlu bersama dalam menangani COVID-19 dan terus berwaspada dengan perkembangan semasa terutamanya apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan terdapatnya varian baru yang cepat tersebar.
“Marilah sama-sama kita menadah tangan bermunajat dan berdoa bagi memohon diberikan kesihatan dan kesejahteraan, seperti doa berikut:
“Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilangkanlah sakit (ini), sembuhkanlah ia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan (dari)-Mu, kesembuhan yang tidak ada sakit selepasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PM dimasukkan ke hospital, alami diarea
Dijangka discaj tak lama lagi, PM ucap terima kasih mendoakan kesihatannya
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan Rabu lalu memaklumkan Muhyiddin dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam perkembangan terbaharu, Perdana Menteri dilaporkan dalam keadaan stabil dengan dijangka dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi.
Memetik kenyataan PMO hari ini, keadaan Muhyiddin adalah stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan.
“Beliau dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi. YAB Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan beliau,” kata kenyataan itu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

