TINDAKAN sebanyak 18 individu dipercayai pekebun durian haram Musang King memasuki Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub semalam mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kerana menceroboh.
JPNP dalam satu kenyataan berkata, kesemua individu itu turut mencetuskan provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan yang menjalankan operasi penguatkuasaan membersihkan ladang haram di kawasan tersebut.

Menurutnya, sepanjang operasi, kakitangan jabatan mengalami kesulitan kerana tindakan pekebun terbabit yang melakukan provokasi.
“Selain itu, mereka cuba menghalang kenderaan jabatan memasuki dan meninggalkan lokasi operasi.
“JPNP kemudiannya membuat laporan polis dan memberikan rakaman video untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu lagi.
JPNP sedang mengadakan operasi membersihkan ladang durian haram seluas 101 hektar di hutan simpan kekal berkenaan yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk polis.
Kata kenyataan itu lagi, kesemua individu tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub kira-kira pukul 4 petang untuk tindakan lanjut.
Kata kenyataan JPNP lagi, operasi itu dilakukan untuk memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dan menahan individu atau pekebun yang memasuki hutan simpan kekal tanpa izin.
“JPNP akan merampas semua kenderaan dan barang yang ditemukan dalam kawasan hutan simpan,” tambah kenyataan tersebut.
Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Yasin semalam mengesahkan empat individu termasuk dua warga asing ditahan pada hari kelmarin kerana menceroboh kawasan hutan simpan kekal terbabit.
Operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang bermula pada kelmarin itu dijadualkan berakhir awal bulan depan.

