Jangan kerana dendam, UMNO jadi ‘pengemis politik’

Dari Penulis

Sepanjang tempoh tujuh bulan ini UMNO telah membuat dua tindakan politik berkaitan soal kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pertama Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 28 dan 29 Mac lalu memutuskan;

‘’Menerima dan mempertahankan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 19hb Febuari 2021 yang memberi ketetapan tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.’’

Kedua, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pada 21 Jun lalu memberi tempoh 14 hari kepada Kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen, jika gagal berbuat demikian ia dianggap penderhakaan dan MKT UMNO akan membuat tindakan lanjut.

Bagi tindakan pertama, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih belum berlangsung dan tidak pasti bila lagi, tapi khabarnya dah tak lama dah. Oleh itu sehingga menanti tempoh tersebut , UMNO masih perlu terus bekerjasama dengan Bersatu. Begitu juga Parlimen belum dibubarkan, maknanya UMNO harus terus berada dalam Kerajaan PN. 

Semua ‘syarat’ yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO dengan persetujuan seluruh ahli-ahli akar umbi UMNO masih belum berlaku maknanya, Parlimen belum dibubarkan dan pilihan raya belum diadakan. Jadi mana-mana pemimpin UMNO waima barisan kepemimpinan tertinggi sekalipun tidak boleh memandai-mandai mengubah apa yang diputuskan oleh PAU.

Dalam soal kedua, tempoh 14 hari yang diberikan itu berakhir semalam dan semalam juga kerajaan membuat pengumuman sidang Parlimen akan diadakan selama lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara. 

Soal sama ada tempoh itu cukup atau tidak, untuk membincangkan semua perkara, ia boleh diperkatakan kemudian, lagipun kalau bagi sebulan pun, kalau dok dihabiskan dengan pertengkaran dan agenda mahu merebut kuasa tak guna juga.

Tetapi yang pasti, tuntutan itu sudah tidak relevan lagi kerana Parlimen akan bersidang, tambahan pula pemberian tempoh 14 hari tersebut dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan ia sebenarnya hanya cadangan di peringkat Biro Politik.

Oleh itu adalah aneh apabila kepemimpinan UMNO masih bertungkus lumus sehingga lewat malam tadi untuk memaksa semua ahli Parlimen parti tersebut menarik sokongan kepada Kerajaan PN. Soalnya, tidakkah tindakan itu bertentangan dengan keputusan PAU yang menegaskan, ‘’ kebersamaan dalam Kerajaan PN diteruskan sehingga pembubaran Parlimen’’?

Kenapa mahu memaksa dan memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen yang ada antara mereka sedang memainkan peranan penting menguruskan pandemik Covid-19 untuk meninggalkan tanggungjawab mereka di tengah jalan? Apa akan berlaku kepada negara?

Cakap-cakap…boleh kekal dalam PN tapi tak nak Muhyiddin

Tidak payahlah buat ‘hujah budak-budak’ dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada ahli-ahli Parlimen yang mahu kekal dalam Kabinet, GLC atau bersama Kerajaan PN. Sebaliknya berfikirlah secara rasional. Tindakan kedua sudah tidak relevan lagi kerana Parlimen akan bersidang.

Kalau ahli-ahli Parlimen UMNO dipaksa meninggalkan kerajaan PN maknanya ia melanggar keputusan PAU! Bukankah itu kesalahan yang besar. Kalau itu dilakukan apa gunanya suara-suara akar umbi yang diwakili oleh perwakilan mereka di PAU?

Apakah selepas ini  ahli-ahli UMNO akan menyaksikan keputusan PAU boleh dilanggar begitu sahaja mengikut kesesuaian kehendak politik kepemimpinan parti tersebut?  

Kenapa sekarang bila melihat tuntutan 14 hari itu sudah tidak relevan, dibangkitkan pula soal UMNO tidak mahu terpalit dengan kegagalan Kerajaan PN dan kononnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu mendengar pandangan UMNO dengan memberi contoh ‘dangkal’ soal moratorium dan pukal’. Sebelum ini bagi alasan UMNO tidak mahu dipalit dengan dakwaan Kerajaan PN gagal menangani pandemik Covid-19.

Masalah sekarang bukan masalah ahli-ahli Parlimen UMNO atau Kerajaan PN tetapi ia dikatakan kerana di dalam UMNO ada pemimpin yang mempunyai dendam peribadi kepada Muhyiddin dan Bersatu . 

Kerana dendam politik, sampai ada cakap-cakap, kalau pun mahu kekal dalam Kerajaan PN, mereka tidak mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri!  Kalau macam itu siapa hendak jadi Perdana Menteri? UMNO? Dan kenapa pula ada cakap-cakap sampai ke tahap begitu? Adakah ini puncanya UMNO mahu meneruskan juga gerakkan keluar daripada Kerajaan PN walaupun Parlimen sudah bersidang?

Disebabkan  dendam itu, sejak awal lagi apa sahaja yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan PN sentiasa sahaja dianggap tidak betul. Kalaupun ada cadangan UMNO diterima dan dilaksanakan, tetapi ada sahaja perkara yang dibangkitkan, buatlah sebaik manapun.

Dendam politik yang membara dan perancangan jajaran baharu politik yang dikaitkan kerjasama dengan PKR dan DAP kini berada ‘di ambang pintu’ menyebabkan hubungan UMNO dalam Kerajaan PN sentiasa sahaja diganggu gugat.

Ada kelompok sudah tidak sabar lagi untuk melaksanakan agenda tersebut. Mereka sudah tidak kisah sama ada tuntutan mereka masih relevan atau tidak, mereka tidak peduli apa akan berlaku kepada negara jika kekalutan politik terjadi dan mereka tidak kisah pun soal rakyat yang tengah susah.

Sebab itulah walaupun berdegar-degar bercakap soal demi kepentingan UMNO, namun tiada antara mereka meminta penjelasan daripada Ahmad Zahid mengenai surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Tiada kelompok yang kononnya pejuang akar umbi UMNO itu bertanya kepada Ahmad Zahid, kenapa tidak membuat laporan polis berhubung rakaman audio yang dikaitkan dengan beliau?

Walaupun perbuatan yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid itu bertentangan dan melanggar dasar parti iaitu ‘No Anwar, No DAP, No PKR’, kelompok-kelompok itu tidak peduli kerana apa yang mereka mahu ialah menumbangkan Kerajaan PN kerana sudah teruja untuk mewujudkan jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP.

Tetapi soalnya akan berjayakan misi mahu menumbangkan Kerajaan PN ini? Kalau MT UMNO membuat keputusan tetapi ahli Parlimen UMNO kekal dalam kerajaan, ia tak ke mana juga. Tak kan nak pecat?  Kalau itu berlaku UMNO bukan lagi akan ‘melukut di tepi gantang’ seperti mana dakwaan mereka dilayan dalam Kerajan PN tetapi ‘sudah menjadi pengemis politik’!

Jadi berhati-hatilah, janganlah kerana dendam politik apatah lagi dendam politik peribadi mana-mana pemimpin UMNO terhadap Muhyiddin dan Bersatu, UMNO salah percaturan. Patuhilah keputusan PAU, bertahanlah sehingga PRU-15, inshaallah…tak lama pun.

Usah bimbang soal takut dipalit kegagalan Kerajaan PN, rakyat serta ahli UMNO tahu menilai termasuklah  wajah sebenar segelintir pemimpin UMNO selepas hilang kuasa, kembali berkuasa dan kini kemaruk mahu merebut kuasa.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saluran RTM akan terus bersiaran di platform Astro

RAKYAT Malaysia akan terus dapat menikmati saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey...

More Articles Like This