580,000 PKS lingkup jika sekatan pergerakan diteruskan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEBANYAK 580,000 perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro negara berada di ambang penutupan operasi menjelang Oktober ini sekiranya sekatan pergerakan berterusan.

Dapatan itu berdasarkan kajian dilakukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menganggarkan 49 peratus perniagaan sektor PKS dan mikro berdepan situasi getir ketika ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penutupan perniagaan yang kebanyakannya dalam kategori pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO) juga bermakna lebih tujuh juta rakyat Malaysia berdepan pengangguran.

Kata beliau, mengambil kira setiap pekerja itu mempunyai dua tanggungan, ini bermaksud 14 juta lagi rakyat Malaysia akan terjejas dengan situasi ini.

Wan Junaidi berkata, kebenaran pahit itu perlu disuarakan supaya orang ramai menyedari kedudukan semasa dihadapi PKS mikro tempatan dan keperluan mendesak untuk tampil dengan langkah tepat bagi mengatasi masalah tersebut.

Baca artikel berkaitan: PKS dijangka kembali pulih perlahan-lahan tahun ini – PM

Menurut beliau, kegagalan menyelesaikan masalah itu akan membawa kesan buruk kepada landskap sosioekonomi negara yang seterusnya mempengaruhi kesejahteraan dan kehidupan rakyat.

“Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu untuk menolong mereka sekarang, saya bimbang banyak PKS mikro ini akan gagal dan tidak dapat membantu membangunkan semula ekonomi apabila perniagaan dibenarkan dibuka kembali.

“Saya juga bimbang kegagalan perniagaan PKS mikro disebabkan sekatan pergerakan berterusan akan mewujudkan kesan domino yang membawa kepada kesan sosial dan ekonomi lebih serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 15 sehingga 28 Jun lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah melakukan tinjauan untuk mengukur kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap landskap keusahawanan Malaysia.

Sebanyak 6,664 responden seluruh negara telah mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut dengan kebanyakan pengusaha kini mengalami sindrom ‘keletihan perniagaan’ dan penurunan keyakinan akibat sekatan pergerakan.

Lebih kurang satu pertiga daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak menerima pelbagai bantuan yang diperkenalkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi turut mengatakan masalah kesihatan mental juga menjadi kebimbangan yang terungkap menerusi tinjauan itu dengan hampir 60 peratus pengusaha menderita sekurang-kuranya satu bentuk keadaan kesihatan mental semasa PKP.

Katanya, tiga faktor tertinggi yang mempengaruhi kesihatan mental pengusaha termasuk penurunan dan kehilangan pendapatan; hutang dan masalah pembiayaan serta risiko penutupan perniagaan.

Beliau menjelaskan banyak pengusaha bimbang tentang masa depan mereka sekali gus menyumbang kepada tahap tekanan lebih tinggi, mempengaruhi mental dan kesejahteraan emosi mereka.

“Kesan PKP tidak hanya mempengaruhi aspek ekonomi tetapi juga aspek sosial. Saya bimbang lebih lama perniagaan tidak dibenarkan beroperasi, semakin lama masa diperlukan untuk pulih.

“Rakyat semakin tidak gembira. Mereka tidak berpuas hati kerana masalah kewangan serta tidak dapat bersosial.

“Sudah tiba masanya kita melihat langkah-langkah holistik lain mengenai bagaimana menangani perkara ini selain daripada PKP,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This