PERUSAHAAN kecil dan sederhana terjejas teruk akibat COVID-19. - Gambar hiasan/Bloomberg

PROSPEK pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertumbuhan itu akan disokong oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion yang diumumkan pada 28 Jun.

“Fokus PEMULIH termasuklah menyokong perniagaan, dengan tujuan utama mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan fasilitasi pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian, yang tentunya akan memberikan manfaat kepada semua PKS,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 juga dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan, tambahnya, memetik laporan Bernama.com.

Muhyiddin berkata demikian menerusi ucapan yang dirakam lebih awal untuk majlis pelancaran portal MyAssist MSME dan Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

BERITA BERKAITAN PEMULIH: RM100 juta diperuntukkan pemulihan khas PKS

Beliau juga berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM147.1 bilion khusus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak 2020.

Katanya, dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi itu prospek pertumbuhan PKS dijangka kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 akan dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan,” katanya.

Antara pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan termasuklah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan yang terbaharu Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion yang diumumkan pada 28 Jun.

Muhyiddin berkata Bank Negara Malaysia menganggarkan ekonomi Malaysia tumbuh dalam lingkungan enam hingga 7.5 peratus tahun ini dengan pemulihan aktiviti domestik yang disokong peningkatan permintaan luar akan menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut.

Menurutnya, PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia dan golongan ini membentuk sekitar 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan negara yang wujud di setiap lapisan sektor.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram