BEKAS Panglima Angkatan Tentera Malaysia kelapan Jen (B), Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat, 90, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, petang tadi.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan, pagi esok dengan pematuhan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Taman Perumahan AU setelah selesai solat jenazah di masjid berkenaan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu malam tadi, memetik laporan Bernama.com

Allahyarham yang lahir pada 17 Dis 1930 mula menyertai ATM pada 1953 sebelum bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera pada 1987.

BERITA BERKAITAN Hubungan tegang Korea Utara-Malaysia, ATM tingkat siap saga

Sebelum itu, Allahyarham pernah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1983 dan turut memegang beberapa jawatan lain ketika berkhidmat antaranya Ketua Turus Jabatan Perisikan, Pengarah Pasukan Petugas VII Jabatan Perdana Menteri, Komander Pertama Briged Infantri ke-9 dan Atase Tentera Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Selepas bersara, Mohd Ghazali dilantik sebagai pengerusi di sebuah akhbar penerbitan tempatan selain menjadi pengerusi sebuah syarikat di bawah Kementerian Pertahanan sebelum melepaskan jawatan tersebut pada Julai 2019.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan seluruh warga ATM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram