UNITED Kingdom (UK) tiada hari kemerdekaan, maklumlah penjajah. Namun buat kali pertama, mereka akan menyambut Freedom Day atau Hari Kebebasan pada 19 Julai ini.
Hari Kebebasan itu sempena peralihan England ke Fasa 4 pelan keluar dari langkah kawalan yang diperkenalkan sejak tahun lalu susulan penularan COVID-19.
Ini bermakna tiada lagi kawalan ke atas rakyat dari sudut perundangan, yang akan ada nanti adalah bentuk galakan. Tak ikut tak apa, ikut lebih baik.
Ketika ini ada dua pandangan berbeza sama ada 19 Julai itu sebenarnya masih terlalu awal bagi meraikan Hari Kebabasan.
British Medical Association (BMA) misalnya antara yang memberi amaran keras berhubung langkah pentadbiran Boris Johnson itu.
Apatah lagi kebelakangan ini kes-kes baharu yang dilaporkan kembali melonjak susulan asakan varian Delta dengan semalam misalnya lebih 34,000 dilaporkan.
Malah kadar kemasukan ke wad akibat wabak itu juga meningkat dengan pertambahan 50 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.
Ireland Utara dan Wales juga dilaporkan akan tunggu dan lihat perkembangan di England.
Di pihak satu lagi, mereka berhujah angka kematian yang rendah di sebalik jumlah kes baharu yang tinggi dengan semalam misalnya, enam sahaja korban dilaporkan.
Angka ini membuktikan vaksinasi mampu mengurangkan risiko keseriusan virus itu.
Maka itu, ada yang okay dengan langkah tersebut apatah lagi 19 Julai sudah diganjak dari tarikh awal pada hujung Jun.

Bagi Menteri Kesihatan UK, Sajid Javid di Parlimen negara itu, kerajaannya tidak boleh lagi mengubah tarikh antranya kerana komuniti perniagaan mahukan satu kepastian.
Namun, langkah UK ini ada risikonya kerana kadar vaksinasi negara itu belum mencapai 70 peratus populasi penduduk dewasa.
Untuk rekod, mereka yang lengkap dua dos adalah pada tahap 55 peratus atau 35 juta.
Cuma yang sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos adalah 45.9 juta.
Kini giat dijalankan untuk mendapatkan seramai mungkin divaksin khususnya buat golongan muda dengan pelbagai kaedah walk in dilakukan stadium-stadium bola sepak terkenal.
Ini berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) yang kadar vaksinasinya lebih tinggi. Negeri New York sudah mencapai 70 peratus dan hujung minggu lalu berlangsung satu perarakan di tengah kota raya tersebut.
Perarakan itu sebagai cara mereka menunjukkan penghargaan kepada petugas kesihatan dan mereka yang meninggal dunia akibat wabak tersebut.
Seperti diketahui, tiada lagi pemakaian pelitup muka atau penjarakan dalam kalangan mereka yang hadir.
Itulah perkembangan di negara-negara kaya yang lebih awal memperoleh bekalan vaksin.

Cuma UK masih-masih menggalakkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak seperti dalam pengangkutan awam selepas Hari Kebebasan, tetapi bukan diwajibkan.
Apa yang akan berlaku di UK ini sesuatu yang akan diikuti dengan rapat semua negara termasuk Malaysia.
Satu waktu mungkin hujung tahun ini selepas imuniti berkelompok dicapai apabila 80 peratus populasi dewasa dapat suntikan vaksin, kita juga akan menentukan garis panduan pasca imunisasi.
Cuma ketika ini, negara-negara membangun masih bergelut untuk memperoleh bekalan vaksin tetapi di negara maju mereka mula sibuk dengan suntikan penggalak.
Thailand pun pening apabila dilaporkan penerima suntikan Sinovac dalam kalangan petugas kesihatan ramai dijangkiti dan ada meninggal dunia.
Baca artikel berkaitan: Sifar kematian di UK bukti keberkesanan vaksin – Dr Adham
Sifar kes kematian, vaksinasi walk in di stadium, perkembangan di UK jadi perhatian

Hinggakan negara itu mahu memberikan Sinovac dengan dos kedua daripada vaksin pengeluar negara Barat – langkah yang belum mempunyai kajian saintifik lengkap.
Di Malaysia pula, sudah lebih 30 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Perkembangan besar dalam Julai.
Angka ini akan terus meningkat hari ke hari bila mana PICK berjaya menyuntik 400,000 dos sehari semalam.
Satu angka yang besar dengan seluruh UK semalam sekitar 150,000 suntikan. Namun jauh juga lagi untuk kita capai jumlah yang telah disuntik seperti di UK.
Lambat laun kita kena sedia hidup bersama virus tersebut tanpa kawalan perundangan atau SOP.
Tetapi itu hanya boleh dicapai setelah 80 peratus penduduk divaksin. Jadi, PICK yang sedang rancak ini usah diganggu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

