PENDUDUK seluruh negara dijangka mampu beralih kepada Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan perkembangan positif dalam kadar vaksinasi negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberi petunjuk bahawa kadar vaksinasi lengkap dua dos telah melepasi nilai ambang (threshold) 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2.
“Perkembangan ini memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok (herd immunity).
“Indikator ini sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, sekiranya perkembangan positif tersebut berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 pada awal bulan Ogos sepertimana negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
BERITA BERKAITAN Selangor dijangka beralih ke Fasa 2 PPN menjelang Ogos, kadar vaksinasi meningkat – MB
Beliau berkata, kesemua negeri-negeri itu telah pun terlebih dahulu berada di Fasa 2 setelah melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di bawah PPN.
Tiga indikator itu ialah purata kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kadar vaksinasi bagi populasi yang sudah menerima dua dos lengkap.
Menyentuh mengenai operasi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas premis-premis tersebut.
Semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 80,827 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,005 orang.
“Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,257 kilang, 15,256 premis perniagaan, 1,148 tapak pembinaan dan 286 asrama penempatan pekerja,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 68 premis meliputi kilang (23), premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (2) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

