GAMBAR: Abd Razak Aid

SEMUA pihak diminta supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab terutama semasa sambutan Hari Raya Aidiladha, Selasa depan bagi mengelakkan tercetusnya kluster majlis perayaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejak bermulanya Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) 1 Jun lalu, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan.

Daripada jumlah tersebut, kata beliau, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini manakala 42 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Dr. Noor Hisham berkata, kluster-kluster berkenaan tercetus susulan sambutan majlis perayaan (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung, perjumpaan antara ahli keluarga dan majlis pengebumian.

Dr Noor Hisham Abdullah

Menurut beliau, beberapa kluster komuniti tersebut turut melibatkan aktiviti rentas negeri.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk yang telah bersungguh-sungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan terus kekal berada di rumah.

Baca artikel berkaitan: Aidiladha: TPM ingatkan belum boleh rentas negeri, daerah

“Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Dr. Noor Hisham turut menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri.

Katanya, dalam tempoh antara 1 Jun sehingga 16 Julai sahaja, sebanyak 1,010 kes positif telah dilaporkan dalam 21 kluster tersebut iaitu daripada 5,681 individu yang disaring.

Kluster-kluster berkenaan, jelas beliau, melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

“Justeru, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha, Selasa depan.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Aidiladha menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram