LEMBAGA Tabung Haji (TH) memberi jaminan kepada 8.3 juta pendepositnya bahawa kepentingan mereka adalah terpelihara dengan operasi harian agensi itu berjalan seperti biasa di sebalik kajian dan cadangan penambahbaikan yang akan dijalankan kerajaan.
TH menyatakan cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH yang meliputui kajian oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM), mahupun perlaksanaan Surujahanjaya Siasatan DiRaja – tidak akan mengganggu urusan harian pendeposit mahupun urusan berkenaan operasi agensi itu.
“Pelbagai pandangan telah disuarakan tentang pengumuman kerajaan ke atas TH. Ini menggambarkan keprihatinan semua pemegang taruh terhadap TH sebagai institusi unggul dalam pengurusan jemaah haji dan TH amat menghargai semua pandangan ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata, jaminan kerajaan ke atas deposit di TH di bawah seksyen 24 Akta Tabung Haji tahun 1995 terus kekal untuk kepentingan para pendeposit.
Selain itu, TH akan mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi haji terus kekal bersama TH.
“Penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh dan TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi, dan pelaburan untuk kepentingan para pendeposit,” kata kenyataan itu .
TH juga menyatakan akan terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif tersebut dan akan berkerjasama dan terlibat dalam kajian yang dijalankan JPM, Kementerian Kewangan dan BNM demi kepentingan para pendeposit dan agensi itu.
BERITA BERKAITAN Kajian semula model operasi TH untuk tambah baik tadbir urus
Menurut kenyataan itu, semenjak penubuhannya pada 1963, TH telah berkembang dari jumlah deposit hanya kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 billion pada hari ini.
“Ini adalah paras yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya lebih 58 tahun yang lalu dan menggambarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan pendeposit terhadap TH,” kata kenyataan itu.
TH menyatakan agensi itu kini berada pada landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil dengan senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit dengan lebih 80 peratus transaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.
Keyakinan dan kepercayaan ini adalah satu amanah yang amat berat dan TH perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus dan operasinya bagi menjaga kepentingan pendeposit, kata kenyataan itu.
“Atas keperluan tanggungjawab ini, kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995,” kata kenyataan itu.
Cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh JPM, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.
TH menyarankan agar kajian menyeluruh dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan di samping mengambil kira kapasiti sedia ada TH termasuklah aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia, dan lain-lain.
Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit, kata kenyataan itu. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

