POLIS Pulau Pinang telah pun memulakan siasatan lanjut secara terperinci susulan video tular melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha, pagi tadi.
Perbuatan lebih 200 individu didakwa warga asing yang berkumpul beramai-ramai sebelum menunaikan solat sunai Aidiladha di luar perkarangan Surau Taman Pelangi dekat Juru, pagi tadi tular dalam media sosial.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain diminta memberi laporan segera.
Pada masa sama, kata beliau, Mohd. Shuhaily turut diminta memberi penjelasan terperinci berhubung penugasan anggota polis yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan terutama semasa perayaan Hari Raya Aidiladha.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.
“KDN juga mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya membabitkan penglibatan warga asing.
Baca artikel berkaitan: Kerajaan lakukan perubahan SOP bagi Fasa 1,2 PPN
“Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan dipercayai warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya tular di media sosial.
Video yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan berkenaan memaparkan kesemua individu dipercayai warga asing itu sedang berkumpul dan bersedia untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily dalam sidang akhbar memohon maaf bagi pihak polis Pulau Pinang atas kegagalan mengesan perbuatan tersebut pagi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati perbuatan itu berlaku secara spontan selepas kesemua mereka tidak dibenarkan bersolat dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya seramai 100 orang.
Katanya, polis sebelum itu telah pun melakukan rondaan awal di kawasan berkenaan, namun pengurusan surau didapati mematuhi SOP ditetapkan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

